Berita Utama

GTA akan pastikan semua calon bertanding PRU15 diangkat

Matlamat utama sekarang adalah bersatu, bersama ambil alih kerajaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Safar 1444H, Isnin – BERJASA sudah bersedia untuk mengambil peranan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun parti itu tidak hanya tertumpu kepada bilangan calon yang ramai dan kawasan akan dipertandingkan kelak.

Sebaliknya, BERJASA lebih membina persepsi bahawa semua parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kluster akan mengangkat calon Gerakan Tanah Air (GTA), kata Presidennya, Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

Beliau berkata, pimpinan telah menetapkan bahawa semua parti, NGO dan kluster yang terlibat bersama gabungan itu diberi ruang untuk mengambil bahagian dalam PRU15 sebagai calon GTA.

“Ingin saya mengulangi bahawa Gerakan Tanah Air akan bertanding sebanyak 120 Parlimen dan 280 Dewan Undangan Negeri pada PRU15 nanti. 

“Matlamat utama sekarang adalah bersatu dan bersama untuk mengambil alih kerajaan sedia ada bagi memastikan Islam sebagai agama Persekutuan terus diposisikan dan berfungsi berdasar pentafsiran yang tepat.

“… dan negara tidak tergadai dengan semakin berkurangnya Tanah Rizab Melayu yang sangat membimbangkan sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ketika ini, GTA disertai empat parti iaitu Pejuang, BERJASA, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sabtu lalu, BERJASA mengadakan Himpunan Nasional 2022 di Bangunan Bank Rakyat, Kuala Lumpur yang menyaksikan kehadiran Pengasas GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Objektif besar himpunan adalah untuk BERJASA melontarkan agenda besar iaitu Impian Nasional BERJASA 2040 kepada seluruh ahli parti dan masyarakat Malaysia.

Ustaz Zamani berkata, kehadiran Dr Mahathir pada perasmian Himpunan Nasional 2022 adalah satu gambaran kerjasama GTA. 

“Saya yakin Tun Dr Mahathir telah mempunyai persepsi yang tepat dan betul terhadap parti BERJASA sebenarnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button