Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

VIDEO | Adik Raja Salman tetap kritik pemerintahan Arab Saudi

Putera Ahmed nafi keluar kenyataan seperti dilaporkan SPA

LONDON, 28 Zulhijjah 1439H, Ahad – Putera Ahmed bin Abdulaziz – adik kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud – mempertimbangkan untuk tidak lagi kembali ke negara itu, apabila mengeluarkan kenyataan yang menjarakkan beliau daripada pemerintahan abangnya, kata sumber terdekat dengannya kepada MEE.

Putera Ahmed membuat kenyataan tidak terbabit dengan apa sahaja tindakan dibuat abang dan anak saudaranya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, ketika berdepan penunjuk perasaan, terdiri daripada warga Yaman dan Bahrain yang berkumpul di hadapan rumahnya beberapa hari lalu.

Dalam satu klip video disiarkan media sosial, penunjuk perasaan terbabit yang melaungkan ‘down, down Al Saud criminal family’, Putera Ahmad berdepan dengan mereka dan bertanya:

“Kenapa anda berkata demikian mengenai Al Saud? Apa yang seluruh keluarga Al Saud harus lakukan dengan ini? Ada orang tertentu yang bertanggungjawab. Jangan babitkan orang lain.”

“Raja dan Putera Mahkota dan beberapa individu lain di Arab Saudi,” katanya ketika menjawab soalan penunjuk perasaan siapa yang bertanggungjawab.

Tunjuk perasaan itu dibuat sebagai membantah tindakan kerajaan Arab Saudi yang terus menyerang Yaman, menyebabkan ribuan nyawa, termasuk kanak-kanak dan wanita terbunuh.

Dalam tempoh beberapa jam, klip video itu menjadi viral menerusi media sosial menyebabkan agensi berita Arab Saudi, SPA, mengeluarkan laporan yang dikatakan dibuat oleh Putera Ahmed.

SPA melaporkan, Putera Ahmad berkata, ‘tafsiran’ beliau mengkritik Raja Salman adalah tidak tepat dan menegaskan bahawa keluarga diraja bertanggungjawab kerana kedudukan mereka di dalam kerajaan.

Bagaimanapun, sumber terdekat dengan Putera Ahmed berkata, beliau tetap dengan pendirian serta kenyataan yang dibuat di hadapan penunjuk perasaan itu, selain menganggap laporan SPA yang kononnya memetik kenyataan beliau adalah palsu.

Berikutan penyiaran klip video itu, satu hashtag ditulis dalam bahasa Arab bermaksud ‘kami berjanji setia kepada Ahmed Abdulaziz sebagai raja’ mula menjadi viral.

Ini adalah kali pertama seorang anggota keluarga diraja Al Saud yang memegang gelaran putera dan lebih kanan, bersuara terhadap pemerintahan Raja Salman dan Putera Mohammed.

Jika Putera Ahmed mengesahkan keputusannya untuk tidak kembali lagi ke Arab Saudi, tindakannya itu akan menjadi satu cabaran terbesar kepada pemerintahan Raja Salman, kerana beliau antara keluarga rapat dan terkanan yang tinggal dalam rumpun ‘Sudairi Seven’.

‘Sudairi tujuh bersaudara’ terdiri daripada Raja Fahd (1921-2005); Putera Sultan (1928-2011); Putera Abdul Rahman (1931-2017); Putera Nayef (1933-2012); Putera Turki (1934-2016); Raja Salman (1935); dan Putera Ahmed (1942).

Mereka adalah hasil perkahwinan pengasas Dinasti Saud, Abdulaziz Bin Saud dengan Hussa bint Ahmed daripada suku berpengaruh di Najd, Al Sudairi. Bapa Hussa, Ahmed bin Muhammed Al Sudairi (1869-1936), adalah ketua suku Sudairi paling berkuasa yang sejak awal lagi memberi sokongan kepada Abdulaziz untuk mewujudkan negara Arab Saudi.

Kenyataan Putera Ahmed kepada penunjuk perasaan mengenai kedudukan keluarga diraja, sekali gus jelas menunjukkan keputusan besar, seperti tindakan melancarkan serangan udara ke atas Yaman, telah dibuat bukan secara kolektif iaitu berunding dengan ahli keluarga kanan lain.

Putera Ahmed adalah salah seorang daripada tiga anggota Majlis Kesetiaan Arab Saudi yang menentang pelantikan Putera Mohammed sebagai Putera Mahkota, dan beliau juga tidak menyatakan kesetiaan ketika Mohammed dilantik.

Majlis Kesetiaan (Hay’at al-Bay’ah) Arab Saudi atau dikenali juga sebagai Suruhanjaya Kesetiaan adalah badan yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti calon bagi menduduki takhta Arab Saudi.

Menjadi saudara kepada Raja Salman, memberikannya perlindungan peribadi kepadanya dan setakat ini Putera Ahmed bebas untuk melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Namun, berikutan kenyataannya kepada penunjuk perasaan terbabit, keadaan itu mungkin berubah.

Selain menyatakan kekecewaan mengenai keluarga diraja, Putera Ahmed juga mempunyai sebab peribadi lain untuk berasa kecewa. Oleh kerana beliau adalah yang termuda daripada saudara-saudara Sudairi lain, beliau terlepas dua peluang untuk jawatan putera mahkota.

Kali pertama ialah apabila Allahyarham Raja Abdullah melantik Putera Muqrin bin Abdulaziz Al Saud (adik daripada ibu lain) sebagai timbalan putera mahkota. Raja Salman yang kemudian menjadi raja tidak juga melantik PUtera Ahmed, sebaliknya memilih seorang anak saudaranya, Mohammed bin Nayef sebagai putera mahkota dan anaknya sendiri, Putera Mohammed sebagai timbalan.

Sebelum ini, seorang anak saudara Putera Ahmed yang mengumumkan keluar daripada keluarga diraja Arab Saudi, Putera Khaled bin Farhan, menggesa Putera Ahmed serta Putera Muqrin untuk menjatuhkan Raja Salman, kerana memerintah secara tidak rasional, tidak menentu dan bodoh.

Khaled merayu kepada kedua-duanya dengan mengatakan bahawa kerosakan yang dilakukan oleh Raja Salman kepada keluarga diraja Arab Saudi dan kerajaan, terlalu teruk.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close