Berita UtamaUtama

‘Sebatan sivil lebih mengaibkan berbanding hukuman syariah’

Pertikaian hukuman syariah bukti pemikiran sekular masih kuat dalam sistem perundangan negara: Mufti Terengganu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Zulhijjah 1439H, Sabtu – Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda meminta semua pihak supaya menghormati hukuman sebatan ke atas dua pesalah lesbian baru-baru ini, yang dibuat berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang di negeri itu.

Beliau berkata, tanggapan dan dakwaan sesetengah pihak kononnya hukuman sebatan syariah dilihat sebagai zalim, tidak sepatutnya timbul kerana ia menjadikan pesalah terbabit insaf, sekali gus memberi pengajaran kepada masyarakat lain.

Dr Zulkifly berkata, hukuman berkenaan tidak sepatutnya dipertikaikan kerana ia bukanlah berat, malah tidak mencederakan pesalah.

“Kenapa pula mereka mempertikaikan cara syariah ini, sedangkan mereka tidak mempertikaikan cara sebatan pada kesalahan di mahkamah sivil yang jelas bercanggah dengan syariat dan tidak berperikemanusiaan?

“Mereka sepatutnya berusaha mengubah bentuk sebatan itu supaya selaras dengan kehendak syariat yang lebih mementingkan pengajaran daripada mencederakan pesalah dalam hal sebatan itu,” katanya.

Beliau turut kesal, apabila ada pihak yang mengatakan hukuman sebatan ke atas pesalah lesbian di Terengganu baru-baru ini, tidak sepatutnya dilakukan sebaliknya mendakwa memberi pendidikan terlebih dahulu dianggap sebagai jalan terbaik.

Dr Zulkifly berpendapat, jika pendidikan diberikan terlebih dahulu, maka ia juga mesti dilakukan terhadap pesalah sivil lain seperti perogol, rasuah dan perompak.

“Kenapa pula mereka dikenakan hukuman termasuk sebatan yang begitu dahsyat sekali? Kenapa tidak dibatalkan sahaja hukuman kepada mereka dan diberi pendidikan?

“Mengikut syarak, tidak timbul kesalahan syariah atau sivil sebab mengikut hukum Islam kesemua kesalahan adalah kesalahan syariat,” katanya.

Beliau berkata, hanya perundangan negara sahaja yang membeza-bezakan status kesalahan syariat dan sivil, berikutan pemikiran sekular yang masih kuat dalam sistem perundangan Malaysia.

Menyelar pihak yang mempertikai hukuman dibuat di khalayak ramai, Dr Zulkifly berkata, tiada sebarang halangan daripada hukum syarak untuk berbuat demikian kerana ia lebih berkesan dalam memberi implikasi kepada masyarakat.

Malah kata beliau, sebatan di khalayak ramai juga tidak mengaibkan pesalah kerana aurat masih dijaga, berbanding perundangan sivil yang menelanjangkan pesalah sewaktu disebat.

“Ini tidak seperti hukuman sebatan yang diputuskan oleh perundangan sivil yang menelanjangkan pesalah apabila disebat. Ia sudah tentu bercanggah dengan nilai agama dan akhlak. Hukuman sebat tersebut juga tidak berkesan kerana tidak dilakukan di khalayak ramai. Buktinya jenayah masih juga berleluasa.

“Ini berbeza dengan sebatan secara Islam di khalayak, ia telah menimbulkan kesan kepada masyarakat dengan bukti kuantiti jenayah semakin kurang dilakukan. Ini berdasarkan kenyataan sejarah Islam.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pihak berkuasa untuk kembali kepada sistem perundangan Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Isnin lalu, pasangan lesbian masing-masing berumur 22 dan 32 tahun disebat enam kali selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks di dalam kereta, pada 8 April lepas.

Hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia itu dipercayai yang pertama seumpamanya di negeri berkenaan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close