Berita UtamaUtama

Tiada pertindihan peranan DBP dan Majlis Bahasa Melayu

DBP terbuka usaha, perubahan untuk tangani isu berkaitan bahasa

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1439H, Selasa – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganggap penubuhan Majlis Bahasa Melayu tidak bertindih dan bercanggah dengan peranannya sebagai pusat dan institusi bahasa, sebaliknya sebagai satu lagi sokongan kepada usaha memperkasakan Bahasa Melayu.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, DBP sentiasa terbuka dan bersedia dalam sebarang usaha dan perubahan untuk menangani isu berkaitan bahasa.

“Saya tidak nampak wujudnya pertindihan peranan sebab majlis tersebut lebih kepada sektor pendidikan di mana ia satu kaedah untuk memastikan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) dilaksanakan di sektor pendidikan dengan lebih mampan.

“Malah kami (DBP) yakin akan diberi peranan penting dalam majlis ini seperti pelantikan tokoh-tokoh dalam bidang bahasa dari DBP, untuk membantu majlis ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui Bernama di Seminar Sehari Isu-isu Mutakhir Kesusasteraan Melayu Moden di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 50 pakar bahasa dan kesusasteraan Melayu itu dirasmikan Anggota Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Semalam, Kementerian Pendidikan menyatakan akan menubuhkan Majlis Bahasa Melayu yang berperanan untuk menyebar luas dan mengiktiraf KSBM di dalam dan luar negara.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata,L penubuhan majlis itu adalah antara langkah yang akan diambil kerajaan dalam tempoh lima tahun ini untuk terus memperkasakan DBP dan memberikannya peranan yang lebih proaktif setaraf dengan pusat serta institusi bahasa di negara maju.

“Sebelum ini, DBP bergerak secara ‘individu’ dan sudah masanya kami bersama-sama dengan agensi lain seperti Kementerian Pendidikan, institusi pengajian tinggi dan lain-lain untuk berganding usaha dalam memartabatkan Bahasa Melayu,” ujarnya.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close