Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

E-mel dedah UAE guna Israel godam telefon Emir Qatar

Aplikasi risikan pintas perbualan Sheikh Tamim, Putra Mutaib, Hariri

DOHA, 20 Zulhijjah 1439H, Sabtu – Sebuah e-mel yang mendakwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) meminta bantuan syarikat rejim pengganas Israel yang pakar dalam perisikan siber – NSO Group Technologies – menggodam telefon Emir Qatar dan seorang putera Arab Saudi, didedahkan akhbar New York Times.

NSO Group Technologies adalah syarikat Israel yang menjalankan risikan siber di seluruh dunia. Ia diasaskan pada 2010 dan dikatakan mempunyai lebih 500 kakitangan dan berpangkalan di Herzliya tidak jauh dari Tel Aviv.

Menurut laporan yang disiarkan akhbar itu semalam, e-mel yang bocor itu terkandung dalam dua tindakan undang-undang terhadap NSO Group yang mencadangkan pembabitan syarikat itu dalam pengintipan haram untuk pelanggan.

Dua saman itu difailkan di Israel dan Cyprus oleh rakyat Qatar dan wartawan Mexico serta aktivis yang menjadi sasaran syarikat perisian pengintip – Pegasus.

E-mel di dalam saman itu menunjukkan UAE menandatangani kontrak memberi lesen kepada syarikat perisian pengawasan ‘pada Ogos 2013’.

UAE dilaporkan cuba memintas panggilan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Ali Thani pada tahun 2014 dan Putera Mutaib bin Abdullah – pesaing takhta kerajaan Arab Saudi – dan Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri.

Laporan itu mendedahkan untuk mengaktifkan perisian pengintip pada telefon sasaran, mesej teks dihantar bersama pautan.

Jika sasaran menekan pautan, perisian Pegasus secara rahsia dimuat turun ke dalam telefon itu, membolehkan pelanggan teknologi itu mendapat akses kepada semua maklumat, termasuk teks mesej, e-mel dan data daripada platform Facebook, Skype, WhatsApp, Viber, WeChat dan Telegram.

Teknologi itu juga bukan saja membolehkan setiap panggilan telefon dipantau, malah ia juga boleh mengawasi perbualan dua individu secara berdepan.

Menurut New York Times, saman itu menuduh NSO Group menyebabkan perisian berkenaan berjaya merekod panggilan wartawan dan cuba mengintip pegawai kerajaan asing atas permintaan pelanggan UAE empat tahun lalu.

Penggodaman terhadap agensi berita rasmi Qatar dan akaun media sosial kerajaan pada 24 Mei 2017, menyebabkan ketegangan besar dan krisis diplomatik yang menyaksikan Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir, memutuskan hubungan dengan Doha, selain menyekat laluan darat, laut dan udara pada 5 Jun tahun lalu.

NSO Group juga menjual teknologi pengawasan kepada Mexico dengan syarat ianya digunakan untuk menentang jenayah dan pengganas, tetapi kebanyakan wartawan terkenal, ahli akademik, peguam hak asasi manusia dan penyiasat jenayah turut menjadi sasaran. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close