Berita Utama

COVID-19: 1,772 kes baharu, 3 kematian hari ini

Sehingga 12 jam tengah 1,084 kes sembuh dilaporkan

KUALA LUMPUR, 29 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kes harian positif COVID-19 dalam negara terus mencatat empat angka dengan 1,772 kes direkodkan hari ini, menjadikan kumulatif 86,618 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 12 jam tengah hari ini, sejumlah 1,084 kes sembuh dilaporkan, menjadikan kumulatif 71,681 kes sudah pulih sepenuhnya atau 82.8 peratus daripada keseluruhan kes.

Menurutnya tiga kematian baharu dilaporkan, kesemuanya di Sandakan, Sabah, menjadikan jumlah kematian sehingga ini kepada 422 orang iaitu 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 12 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,760 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, Kuala Lumpur mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 696 kes (39.3 peratus) di mana 567 kes (81.5 peratus) adalah berpunca daripada saringan Kluster Tapak Bina Damanlela yang melibatkan generasi kelima dan keenam.

Dr Noor Hisham berkata kes kedua tertinggi adalah di Selangor dengan 503 kes (28.4 peratus) dan diikuti Sabah sebanyak 260 kes (14.7 peratus).

Beliau berkata daripada 696 kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur, 629 kes adalah daripada kluster sedia ada, 31 kes daripada saringan kontak rapat kes positif, lapan kes import dari luar negara dan 28 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

Kes baharu di negeri lain ialah di Perak sebanyak 110 kes, Negeri Sembilan (67), Johor (48), Pulau Pinang (34), Kedah (20), Labuan (11), , Pahang (8), Terengganu (7), Melaka (5), Kelantan (3) dan tiada kes baharu dilaporkan di Sarawak, Putrajaya dan Perlis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 118 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 56 memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata tiga kematian hari ini melibatkan seorang wanita berusia 45 tahun, dua lelaki masing-masing berusia 75 dan 88 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button