Berita UtamaDuniaUtama

Lebih 500 terkorban gempa bumi di Lombok

75,000 rumah musnah, 431,436 penduduk terpaksa berpindah

JAKARTA, 10 Zulhijjah 1439H, Rabu – Angka korban akibat gempa bumi di pulau Lombok sejak 5 Ogos lalu meningkat kepada 500 orang, lapor pihak berkuasa Indonesia.

Gegaran siri gempa bumi di pulau peranginan itu menyebabkan puluhan ribu penduduk melarikan diri mencari tempat perlindungan sejak beberapa minggu lalu.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, kira-kira 506 orang maut, hampir 75,000 rumah musnah dan 431,436 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat kejadian itu.

Katanya, usaha bantuan dan pembinaan semula dipercepatkan, termasuk kemudahan awam seperti hospital dan sekolah.

Gempa bumi pada Isnin lalu adalah gempa ketiga berlaku tepat dua minggu selepas gegaran berukuran 6.9 magnitud yang meragut 460 nyawa dan mencetuskan usaha mencari, menyelamat dan bantuan besar-besaran.

Aktivis hak kanak-kanak di Mataram, Endri Susanto memberitahu, kebanyakan penduduk kini dalam keadaan trauma.

“Ketika gegaran, semua orang berlari keluar dari rumah mereka. Semuanya berkumpul di padang terbuka dan ketakutan. Orang ramai masik mengalami trauma akibat gempa susulan yang tidak berhenti,” katanya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close