Berita UtamaDr Ridhuan Tee AbdullahKolumnisUtama

‘Judi hak orang bukan Islam’ satu ungkapan salah

Kena benar-benar amanah barulah perkataan PAN tidak digunakan

SAYA ucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa, kerana berani berkata benar meskipun pahit mengenai haramnya judi, termasuk di Genting Highland. Ini barulah amanah dengan jawatan dan saya boleh berlembut hati menyebut parti Amanah.

Sekalung tahniah juga kepada wakil PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang menimbulkan persoalan ini untuk dijawab di Parlimen. Antara cadangan beliau supaya setiap kementerian membentuk satu jawatankuasa bagi membolehkan semua wakil agama mengadakan perbincangan mengenai judi dan memperkenalkan hukuman oleh semua agama secara selari bagi kesalahan judi.

Cuma, saya ini menambah, bukan sekadar isu judi, tetapi perkara lain yang diharamkan oleh semua agama, bukan sahaja Islam, seperti arak, zina, seks bebas, pergaulan tanpa batas, pusat hiburan melampau, seks songsang, LGBT dan banyak lagi. Saya nak tengok berapa ramai Ahli Parlimen yang betul-betul sayangkan agama, termasuk bukan Islam, terutama mereka yang mahu berebut-rebut menggunakan kalimah Allah.

Albert Einstein pernah berkata, ‘God does not play dice with the universe. If God isn’t a gambler, are his followers?’ Kata-kata ini membuatkan saya amat teruja dengan kenyataan mengenai judi yang dikatakan adalah hak orang bukan Islam.

Persoalannya, dari sumber manakah fakta itu diperoleh? Atau kenyataan itu sekadar mahu mengambil hati atau menjaga hati orang lain? Kita tidak seharusnya membuat generalisasi bahawa amalan budaya sesuatu kaum adalah hak mereka, tanpa merujuk kepada sumber asasi atau berautoriti.

Jika kita tidak rajin membaca, sekurang-kurangnya tanyalah mereka yang lebih arif serta pakar, seperti pakar perbandingan agama atau sami Buddha, Hindu, paderi Kristian dan sebagainya. Budaya merujuk pakar perlu ada dalam melahirkan masyarakat yang maju, berilmu dan mempunyai daya intelektual yang tinggi.

Sepanjang pengetahuan saya mengkaji perbandingan agama sehinggalah memeluk Islam, tidak ada satupun agama yang menghalalkan judi.

Mari kita melihat hujah-hujah agama selain Islam. Judi dikategorikan sebagai dosa besar dan kerja-kerja syaitan. Sila baca pandangan Kristian dalam 1 Timothy 6:9, Matthew 6:13; 26:41, James 4:3; Matthew 18:6-9. 1 Corinthians 15:33.

Pandangan Buddha dalam Digha Nikaya, Sigalovada Sutta: The Layman’s Code of Discipline, Dighajanu Sutta, Anguttara Nikaya VIII.54.

Pndangan Hindu dalam Tirukkural, 94: 931-940 (http://www.buddhanet.net/e-learning/ethics_s.htm).

Tidak ketinggalan, amalan judi juga diharamkan dalam agama Yahudi. (http://www.beliefnet.com/News/2003/01/Does-God-Play-Dice.aspx). Istilah-istilah moden yang merujuk kepada judi seperti kasino, loteri, mesin slot, dan judi bola sepak, menurut pengamal-pengamal Kristian adalah haram dan berdosa. Jadi, dimanakah hujah untuk menghalalkannya?

Sila layari http://gospelway.com/morality/gambling.php. Saya merasa pelik kenapa kita takut untuk berkata benar.

Persoalannya, tatkala agama lain bersependapat dengan kita, kenapa kita pula bertindak melawan arus mahu menghalalkan judi, termasuk judi bola? Pada hemat saya, yang haram tidak boleh disahkan, kerana implikasi haram akan menerbitkan keputusan yang haram juga.

Logiknya mudah, bila halal + halal, jawapan halal tidak ragu-ragu lagi. Namun, jika haram + halal, jawapannya masih lagi haram. Jika tidak haram pun, ia akan menimbulkan sangsi dan was-was. Apatah lagi jika haram + haram, sudah tentu menjadi lebih haram.

Justeru, oleh kerana tidak ada satu pun agama yang membenarkan judi, eloklah kita fikirkan semula bagaimanakah kesannya, jika ianya dibenarkan atau dilesenkan.

Berasaskan pengalaman saya ketika tidak Islam dan pernah berjudi secara haram, judi langsung tidak mendatangkan kebaikan, malahan akan menimbulkan ketagihan walaupun judi itu tidak boleh dimakan, rasa tidak puas hati akan menimbulkan ketagihan. Apatah jika menjadi sumber rezeki, seterusnya menjadi darah daging.

Saya tidak pernah lihat ada tauke judi yang bankrap atau jatuh miskin disebabkan oleh perniagaan haram ini. Yang jelas, rata-rata masyarakat atau rakyat menjadi mangsa.

Jika dilihat dari sudut mana sekalipun tidak ada satu pun kebaikan hasil perjudian. Menang sekali setelah ratusan kali dan ribuan kali kalah. Judi telah mengakibatkan penderitaan dan reputasi seseorang. Soal mereka masih melakukannya, sehingga menjadi amalan hidup, itu adalah soal individu.

Adalah tidak wajar dikaitkan dengan peradaban dan agama mereka sehingga kita sanggup mengatakan bahawa ia adalah hak mereka, tidak boleh diganggu-gugat.

Sebelum memeluk Islam, saya pernah melihat dengan mata kepala saya sendiri bahana judi. Ada yang terpaksa melacurkan isteri kerana kalah berjudi kerana tidak dapat melangsaikan hutang judi. Tidak kurang pula yang membunuh diri. Ada juga yang sanggup menggadaikan harta benda dan tanah pusaka.

Justeru, apakah altenatif kepada penjudi-penjudi ini. Pada saya, cukuplah dengan apa yang telah ada. Tidak perlulah ditambah lagi. Jika dapat dikurangkan dan dihapuskan lagi baik kerana tidak ada agama yang menyetujuinya.

Jangan mengundang bala, takut-takut nanti dimurkai Tuhan. Tatkala itu, mereka yang mengharamkan judi atau tidak pernah berjudi pun akan terpalit sama kerana bala Tuhan tidak mengenal tempat atau orang tertentu sahaja.

Tsunami yang melanda Lombok tidak hanya kena pada mereka yang engkar dengan Tuhan, tetapi membabitkan ramai orang baik yang tidak berdosa, termasuk rumah ibadat seperti surau dan masjid. Janganlah kita anggap, jika bala turun ia hanya akan kena pada mereka yang melakukan maksiat sahaja.

Saya yakin kepimpinan negara kita akan melihat perkara ini dengan serius. Biarlah mereka yang berjudi haram ditangkap polis. Sekurang-kurangnya kita dapat memberikan mereka pengajaran daripada terus berjudi seumur hidup.

Kajian yang dibuat ke atas bandar-bandar utama di Amerika Syarikat seperti Washington, Minnesota, Mississippi, California, Colorado, Connecticut, Las Vegas, Wisconsin dan sebagainya, menunjukkan bahawa apabila pusat judi dibuka, kadar jenayah dalam pelbagai bidang meningkat serta-merta sehingga 500 peratus.

Menurut John Curran, kadar jenayah ragut, rogol, rompak, serangan dan bunuh meningkat mendadak apabila kasino dibuka. Statistik Federal Bureau of Investigation (FBI) mempamerkan, kadar jenayah daripada 1,000 orang penduduk meningkat daripada 134.3 pada tahun 1978 kepada tahap menakutkan iaitu 450.3 pada tahun 1988.

Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh kajian Keith Copher, Ketua Penguatkuasaan, Lembaga Pengawasan Judi, Nevada, yang mendedahkan antara 450 hingga 500 pekerja ditangkap setahun kerana terbabit dalam aktiviti perjudian haram dalam satu daerah.

Menurut Schaff, Counselor for the Department of Corrections in Wisconsin “In the most desperate phase of compulsive gambling, they will do anything to gamble,” “They start stealing money from their spouses, family . . . they’ll get money anyhow, anywhere. They’ll do forgeries, embezzlements, thefts. It’s mostly white-collar crime.”

Tidak ketinggalan, judi turut menjejaskan kadar percukaian negara. Menurut Tom Grey, President of National Coalition Against Legalized Gambling, “We have studies that show for every dollar you bring in gambling revenue, you’ll lose $1.90 in costs to the taxpayer,” he said. It’s as simple as ABC, “the addiction, the bankruptcy, the crime and corruption that you already have will just multiply with this expansion.” … “If you’re not fighting it, it’s like cancer and will metastasize and take you over,”. Sila rujuk http://www.citizenlink.org/FOSI/gambling/cog/A000002180.cfm

Semua bukti ini menunjukkan bahawa judi langsung tidak mendatangkan kebaikan kepada negara, apatah lagi kepada individu yang terbabit.

Justeru, tunaikan hak semua agama dan hak rakyat untuk mendapatkan kebaikan dan hidup aman damai. Saya yakin ia bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan. Saya juga yakin masyarakat Islam akan memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pentadbiran yang ada pada hari ini jika kita bertegas.

Segerakanlah penubuhan jawatan kuasa membabitkan semua agama untuk membincangkan isu yang telah menjadi barah ini. Baharulah dikatakan Amanah bukan PAN lagi.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close