Berita Utama

Salah jika tak lapor kes rasuah kepada pihak berkuasa

Kes tawaran percutian mewah kepada Salahuddin bukan perkara kecil

PASIR MAS, 30 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Mana-mana individu yang gagal melaporkan kes rasuah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia merujuk kepada kes bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sepatutnya membuat laporan segera berkenaan tawaran rasuah kepada beliau supaya pihak bertanggungjawab khususnya SPRM dapat mengambil tindakan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tawaran percutian mewah dari syarikat pengimport daging sekiranya benar-benar berlaku merupakan kes yang bukan kecil.

“Sewajarnya beliau tampil membuat aduan segera kepada SPRM terhadap mereka yang cuba menyogok rasuah berkenaan sebelum ini.

“Perlu ingat kegagalan membuat laporan berhubung rasuah ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta SPRM,” katanya.

Menurut rekod, pada 2 Disember 2020 tiga kakitangan Kementerian Kewangan dihukum denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana dianggap gagal melaporkan tawaran rasuah.

Menurut laporan media tawaran rasuah itu bernilai antara RM200 hingga RM600.

Sebelum ini, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah dilapor mendakwa pernah ditawar percutian mewah di Eropah oleh sindiket import daging ketika baru menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button