Berita UtamaUtama

‘Saya tak campur tangan urusan UMNO’

Bekas PM dakwa hanya pertahan dasar, jelas penipuan fakta kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 3 Zulhijjah 1439H, Rabu – Datuk Seri Najib Razak hari ini menolak dakwaan pernah campur tangan dalam urusan pentadbiran UMNO sejak meletakkan jawatan sebagai presiden parti, Mei lalu.

Beliau berkata, Presiden baharu UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bebas untuk membuat sebarang keputusan untuk parti termasuklah hal jawatan dan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saranan untuk saya jarakkan diri daripada UMNO, saya tak fikir perkara itu jadi masalah kerana, lepas tak lagi menjadi Presiden UMNO, saya tidak pernah lagi campur tangan dalam pentadbiran UMNO.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk menyokong Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebagai Presiden UMNO,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz semalam, supaya Najib menjarakkan diri daripada parti itu.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu berkata, beliau juga mempunyai hak untuk mempertahan dasar dan menjelaskan kekeliruan serta penipuan fakta yang dibuat kerajaan hari ini.

“Saya merasakan bahawa perlindungan sendiri (self-defence) adalah adil untuk saya menerangkan sebab mengapa kami merangka sesetengah daripada polisi dan sebab kami melakukan perkara tersebut.

“Saya juga patut mendapat hak sebagai warganegara untuk menerangkan dasar dan alasan mengapa saya melakukan sesuatu perkara itu,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close