Berita UtamaUtama

Pemilihan PKR: DAP pun dibelakang team….

3 parti PH selesa pemimpin diberi kedudukan tinggi dalam kerajaan

Eksklusif
Oleh Razali bin Zakaria

Pengarang Kanan

JOHOR BAHRU, 1 Zulhijjah 1439H, Isnin – Kira-kira sebulan lagi PKR – parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) – bakal mengadakan pemilihan pertama selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara, yang kali ini dilihat sengit dan panas membabitkan dua team.

Senario politik terkini dalam PKR jelas mewujudkan team Datuk Seri Anwar Ibrahim dan team Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Kewujudan dua team itu juga semakin ketara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, apabila beberapa pemimpin kanan PKR, terpilih menjadi menteri Pusat yang memegang beberapa portfolio penting dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kebanyakan yang menjadi menteri itu pula berada dalam team Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, satu jawatan yang dianggap ‘lebih penting’ daripada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Pemimpin PKR di kedua-dua belah pihak sekarang ini sudah tidak berselindung lagi dan disahkan melalui kempen pemilihan bahawa memang wujud dua team membabitkan team Anwar dan Azmin.

“Anwar telah disahkan menang jawatan Presiden dan kedudukannya sekarang menjurus ke arah kerusi Perdana Menteri. Yang akan bertanding jawatan nombor dua dalam parti sekarang ialah Azmin dan Rafizi Ramli.

“Semua orang tahu di belakang Rafizi ialah Anwar, (Datuk Seri) Wan Azizah (Wan Ismail), Nurul Izzah dan beberapa calon lain yang bertanding peringkat tertinggi,” kata sumber ketika dihubungi Ismaweb.net, malam ini.

Katanya, pemimpin dan ahli PKR tetap menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai presiden, tetapi pada masa sama menolak orang Anwar yang bertanding peringkat tertinggi parti.

“Mereka melihat kesetiaan Azmin yang tidak meninggalkan bosnya sejak Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. Dan, sekarang Azmin diletakkan pada kedudukan tinggi dalam Kabinet Mahathir.

“Sekarang sudah jelas kebanyakan pemimpin PKR yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri, kecuali Wan Azizah, berada di pihak Azmin dan disokong ahli bawahan.

“Anwar pula tercari-cari kerusi Parlimen untuk beliau bertanding bagi mengukuhkan kedudukannya. Namun, jawatan Timbalan Perdana Menteri terus dipegang Wan Azizah,” katanya.

Sumber itu berkata, kini kumpulan Anwar mula menyerang pemimpin yang berada bersama Azmin, selepas sesetengah daripada mereka sebelum ini kecewa tidak terpilih menjadi menteri Pusat, menteri besar atau ahli Exco negeri.

Sumber itu berkata, kelebihan dari segi material sekarang ini memihak kepada team Azmin, sementara team Anwar dan Rafizi hanya mampu bercakap sahaja.

Mengenai siapa yang beliau yakin berada di belakang Azmin, atau dakwaan bahawa Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin menjadi penghalang kepada team Anwar, sumber itu hanya menjelaskan, ada kemungkinan orang dalam Bersatu, PAN dan DAP.

Sumber itu berkata, DAP, Bersatu dan PAN sekarang ini tidak melihat keperluan Anwar menjadi Perdana Menteri dengan segera berikutan jawatan dan kedudukan penting dalam kerajaan yang diberikan oleh Dr Mahathir kepada mereka.

“Sebab itu ketiga-tiga parti ini menyokong Azmin, bukan Rafizi yang menjadi team Anwar,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close