Berita UtamaUtama

LGBT: Mujahid, Fauziah digesa rujuk al-Quran, Sunnah

Inisiatif menteri agama tangani isu kepentingan umum tak menguntungkan umat Islam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 30 Zulkaedah 1439H, Ahad – Pendirian dan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa dalam menangani isu kepentingan umum, dilihat tidak langsung menguntungkan umat Islam.

Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini menyuarakan rasa kesal terhadap pendirian Mujahid apabila inisiatif pertemuan yang dibuat beliau hanya memberi kesimpulan menyalahkan orang Islam dan masyarakat semata-mata.

Exco Penerangan dan Kajian Pemuda Isma, Muslim Abdullah Zaik berkata, pertemuan tertutup antara menteri itu dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy berhubung isu pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik baru-baru ini, hanya memberi hasil yang mengecewakan terhadap umat Islam.

Malah beliau berkata, kekecewaan yang sama juga berlaku apabila Mujahid sekali lagi meletakkan kesalahan sama dengan menuduh umat Islam mendiskriminasi golongan transgender, sewaktu sidang media beliau bersama aktivis LGBT, Nisha Ayub pada Jumaat lalu.

“Umat Islam didakwa menuduh P Ramasamy dan juga golongan ‘mak nyah’. Umat Islam dituduh mendiskriminasi golongan ‘mak nyah’ dan menyebabkan mereka terjerumus ke lembah kehinaan.

“Adakah tindakan menteri agama itu merujuk kepada al-Quran dan Hadis atau Universal Declaration of Human Right (UDHR)?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Kelmarin, Mujahid dalam sidang media bersama Nisha menggesa masyarakat tidak mendiskriminasi golongan LGBT, dan meminta mereka diberi peluang menerima hak sama rata seperti rakyat di negara ini.

Mujahid berkata, golongan trangender juga mempunyai hak sebagai rakyat untuk pergi ke sekolah, mendapat akses sama rata terhadap kesihatan, beribadah dan ke mana sahaja tempat awam.

Mengulas lanjut Muslim berkata, Deklarasi Hak Asasi Manusia melabelkan golongan yang menolak budaya songsang LGBT sebagai ‘homophobia’ dan ‘transphobia’, di mana sekali gus meletakkan golongan majoriti umat Islam di negara ini sebagai pesalah dengan label yang tidak sepatutnya.

“Bukankah dalam al-Quran kisah kaum LGBT dikisahkan secara khusus balasan ke atas mereka, bahkan Rasulullah SAW juga pernah mengarahkan supaya lelaki yang menyerupai wanita ini diasingkan supaya penyakit ini boleh dirawat (HR Abu Daud).

“Selain itu, baginda juga pernah melaknat golongan ini sebanyak tiga kali. Kenyataan menteri agama dilihat lebih selari dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia berbanding al-Quran dan Hadis,” katanya.

Justeru beliau berkata, Pemuda Isma menggesa Mujahid dan timbalannya, Fuziah Salleh untuk sama-sama beriman kepada Allah dan Rasul sepenuhnya, dengan kembali merujuk al-Quran dan Hadis.

“Kita juga menggesa kedua-dua menteri agama berkenaan untuk kembalikan peranan sebagai menteri agama yang sebenarnya iaitu mewakili umat Islam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close