Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Lagi sukarelawan perubatan Palestin ditembak mati

Kira-kira 84 penunjuk perasaan Great March of Return hari ini cedera

GAZA, 29 Zulkaedah 1439H, Sabtu – Seorang lagi sukarelawan perubatan rakyat Palestin ditembak mati oleh rejim pengganas Israel, ketika tunjuk perasaan ‘Great March of Return’ di sempadan Gaza-Israel, hari ini.

Abdullah Qatati sedang memberi bantuan perubatan kepada penunjuk perasaan yang cedera di timur Rafah, apabila penembak hendap rejim Zionas menyasarkan kepalanya.

Beliau jatuh sebelum menghembuskan nafas terakhir di medan penunjuk perasaan, beberapa minit kemudian.

Abdullah menjadi sukarelawan perubatan kedua ditembak mati askar rejim Zionis, ketika bertugas memberi bantuan kepada penunjuk perasaan yang cedera ketika ‘Great March of Return’.

6 Ramadan lalu, seorang anggota paramedik wanita, Razan Ashraf Najjar, 21, juga terbunuh ditembak di dada ketika sedang memberi bantuan perubatan kepada penunjuk perasaan yang cedera di pagar sempadan di timur Khan Younes, selatan Semenanjung Gaza.

Dalam tunjuk perasaan hari ini, sekurang-kurangnya 84 lagi warga Palestin cedera, sesetengahnya parah, akibat ditembak askar rejim Israel.

Sejak ‘Great March of Return’ bermula 30 Mac lalu, lebih 158 penunjuk perasaan terbunuh, manakala 17,500 lagi cedera ketika berkumpul di pagar sempadan Gaza-Israel bagi mendesak rejim pengganas itu memulangkan perkampungan dan tanah mereka yang dirampas, serta menamatkan pengepungan selama 12 tahun.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qidra berkata, Israel menggunakan dron untuk melepaskan gas pemedih mata ke atas penunjuk perasaan, sementara penembak hendap melepaskan tembakan peluru hidup.

“Tunjuk perasaan masih berlaku sekarang dan keadaannya dijangka kritikal beberapa jam lagi. Ia semakin tegang di sini dan wujud kebimbangan kemungkinan akan menjadi serius jika berlaku provokasi mana-mana pihak,” katanya.

Tunjuk perasaan hari ini lebih besar selepas penduduk membantah serangan udara rejim pengganas di beberapa kawasan di Gaza, yang turut mengorbankan seorang wanita hamil sembilan bulan berusia 23 tahun, dan anak perempuannya berusia 18 bulan.

Sejak kelmarin, rejim pengganas Israel melancarkan lebih 140 serangan udara dan tembakan meriam, sementara pejuang Palestin pula melepaskan 150 roket ke arah Israel. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close