Berita UtamaUtama

AS tunjuk besar kepala, tak peduli kedaulatan Malaysia

Kerajaan mesti kemuka bantahan rasmi isu sokongan kedutaan Amerika terhadap aktivis LGBT yang boleh menjatuhkan maruah Malaysia

BANGI, 29 Zulkaedah 1439H, Sabtu – Sekali lagi Amerika Syarikat (AS) mahu menunjukkan sikap besar kepala, dan tidak mempedulikan hak serta kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang mempunyai undang-undang dan agama tersendiri.

Kenyataan terbaharu Kedutaan AS semalam, berkaitan isu menurunkan gambar aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgander (LGBT) pada pameran fotografi di Pulau Pinang, sebenarnya adalah campur tangan dan mahu menjatuhkan maruah Malaysia serta bagi menunjukkan negara ini tidak adil kepada rakyatnya.

Sehubungan itu, Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim menggesa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) menyatakan bantahan terhadap campur tangan AS dalam urusan dalaman Malaysia.

“Sokongan terbuka AS dalam isu itu terang-terang mencampuri urusan dalaman negara dan Wisma Putra atau Putrajaya mesti mengambil langkah tegas, sama ada memanggil duta AS untuk memberi penjelasan atau menghantar surat bantahan rasmi mengenainya.

“Sokongan itu juga menimbulkan kontroversi kerana ia bertentangan dengan prinsip kedaulatan sesebuah negara dan undang-undang antarabangsa,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, kedutaan AS di Kuala Lumpur menyuarakan sokongan terhadap dua aktivis LGBT, Nisha Ayub dan Pang Khee Teik, di mana potret mereka diturunkan daripada festival Georgetown.

Menerusi Twitter, kedutaan itu turut memuat naik gambar Nisha memegang Jalur Gemilang, yang telah diturunkan oleh Kerajaan Persekutuan daripada pameran fotografi, ‘Stripes and Strokes’ sempena festival yang berlangsung sejak 4 Ogos lalu.

Ustaz Zamri berkata, Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, mempunyai undang-undang dan peraturan sendiri.

“Malaysia mempunyai penganut agama yang pelbagai, namun Islam dinyatakan dalam tiang seri negara sebagai agama Persekutuan. Islam menolak LGBT, demikian juga adat resam rakyat Malaysia yang kepelbagaian yang menolak amalan LGBT, namun tidak pula mendiskriminasi golongan itu dalam keadaan tertentu.

“Islam tidak mendiskriminasi mana-mana pihak, namun hukum dan peraturan Islam mesti didahului di mana ianya melarang amalan songsang. Malah, Islam telah memberi peringatan menerusi kisah kaum Nabi Luth,” katanya.

Oleh itu, Ustaz Zamri mengingatkan AS supaya tidak berbuat sesuka hati di Malaysia, kerana kedaulatan negara ini adalah asas perpaduan kaum.

Beliau berkata, jika AS sendiri tidak mahu negara lain mencampuri urusan dalaman mereka, demikian juga rakyat Malaysia tidak mengizinkan kedaulatan negara ini dicabar.

“Malaysia adalah negara Islam berdaulat. Kita bimbang suatu hari nanti Amerika akan mendesak Putrajaya mengiktiraf perkahwinan sejenis sebagaimana yang berlaku di negara mereka.

“Walaupun terdapatnya hubungan diplomatik antara negara, faktor kedaulatan masih menjadi keutamaan Malaysia. Kedaulatan menjadi perkara amat penting dan ia mencorakkan personaliti sesebuah negara pada peringkat antarabangsa. Malah, campur tangan dalam mana-mana negara akan menatijahkan implikasi lebih buruk,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close