Berita UtamaUtama

Usah berdalih lagi isu pakaian pramugari: PAS

Kerajaan perlu laksanakan pakaian patuh syarak tanpa beri alasan lain

KOTA BHARU, 28 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary meminta kerajaan supaya tidak berdalih lagi dan membenarkan pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) memakai pakaian menutup aurat sebagaimana dikehendaki syarak.

Beliau berkata, bekas pemimpin PAS yang kini mempunyai kedudukan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melaksanakannya dan tidak lagi mencipta banyak alasan.

“Ketika mereka bersama kita dahulu begitu lantang menuntut kerajaan ketika itu membenarkan pramugari mengenakan pakaian menutup aurat.

“Namun sekarang setelah mendapat kedudukan sebagai menteri, lain pula nada mereka sehingga banyak berdalih. Inilah masalahnya apabila mereka tidak lagi bersama dengan perjuangan kita (Islam),” katanya.

Beliau berkata demikian pada kuliah di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati hari ini.

Kerajaan PH sebelum ini menyatakan tiada larangan kepada mana-mana syarikat penerbangan menetapkan pakaian seragam pramugari yang menepati kehendak syariat Islam.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar bagaimanapun berkata, ia perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan International Civil Aviation Organization (ICAO).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, menyarankan supaya orang ramai tidak memandang kepada pramugari jika pakaian dipakai mencolok mata.

Mengulas kenyataan Loke, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Noor menyifatkan jawapan itu sebagai melucukan dan tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan beliau bahawa pihak syarikat bebas memilih seragam masing-masing selagi mampu menjalankan tugas dengan baik dan dalam masa yang sama kerajaan pula tidak menghalang pihak syarikat memperkenalkan seragam yang menepati agama menunjukkan bahawa kerajaan tidak mahu bertanggungjawab membantu menyelesaikan permasalahan pakaian seragam khususnya bagi wanita Muslim.

“Loke juga berkata bahawa perkara ini subjektif dan kalau rasa mencolok mata, mata itu jangan pandang kepada pramugari tersebut. Bagi rakyat, jawapan menteri seperti ini mengulangi jawapan penuh kepandiran yang menggelikan hati dan merendahkan tahap intelektualisme mereka sebagai pemimpin negara.

“Adakah bodoh mesti menjadi kembar siam kepada pak menteri? Sangat malang kepada rakyat negeri ini memiliki barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang jauh daripada kompetensi sebagai negarawan yang berjiwa besar,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close