Berita UtamaUtama

Singkir Najib jika betul UMNO mahu berubah

Pengorbanan politik perlu untuk pulihkan imej di mata awam

KUALA LUMPUR, 28 Zulkaedah 1439H, Jumaat – UMNO perlu berani menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak daripada parti itu jika ia tekad untuk memperbaiki imejnya di mata ahli dan rakyat yang telah musnah.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, jika barisan kepemimpinan UMNO yang baharu berazam untuk berubah, maka, mereka mesti berani membuat keputusan drastik walau terpaksa menyingkirkan keahlian bekas Presiden UMNO itu.

“Ia sebagai tanda komitmen perjuangan parti yang benci dan jijik terhadap rasuah dan penyelewengan sebagai musuh utama negara serta pembinasa kuasa politik UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Beliau berkata demikiandalam catatan di Facebook peribadinya, semalam.

Rahim berkata, penyingkiran Najib itu bukan bererti UMNO tidak mengenang jasanya, sebaliknya ia adalah pengorbanan politik yang perlu demi masa depan parti itu.

“Tanggungjawab utama UMNO adalah memilih kepentingan rakyat sebagai keutamaan nasional berbanding terkial-kial mempertahankan kepentingan individu tertentu.

“Ramai masih sayang dan hormat bekas Presiden UMNO termasuk saya yang sudah berjuang bersama-sama beliau sejak zaman Pemuda.

“Tapi penyingkiran keahlian bekas Presiden oleh UMNO akan dilihat dan dirasai rakyat sebagai pengorbanan politik yang amat besar dan satu manifestasi parti keramat ini untuk memastikan rakyat akan menyokong perjuangannya di masa akan datang tanpa apa-apa keraguan atau prasangka buruk.

“Bukan kami tak sayang bekas pemimpin kami, tapi kami lebih sayang perjuangan UMNO yang keramat ini supaya tidak dikiamatkan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close