Berita UtamaUtama

Promosi ikon LGBT menggalak, mengiktiraf perbuatan haram

Mufti Perak sokong arahan turunkan potret aktivis LGBT di festival fotografi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Perbuatan mempromosi ikon lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di khalayak adalah usaha untuk menggalakkan dan mengiktiraf perbuatan haram itu, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussaini Zakaria.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, LGBT adalah perbuatan mungkar yang dilaknat dan diharamkan Allah, tidak kira sama ada dilakukan secara terbuka atau sembunyi.

Beliau menyokong tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa yang mengarahkan potret aktivis LGBT dalam festival pameran fotografi di Georgetown, Pulau Pinang, diturunkan.

Katanya, LGBT adalah perbuatan terkutuk yang menyalahi hak kemuliaan seseorang manusia kerana menafikan hak berhubungan melalui perkahwinan yang sah dan diiktiraf syarak.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Menteri Agama kerana berani menyatakan kebenaran dan secara tidak langsung mempertahankan kredibiliti institusi agama Islam,” katanya.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa mengaku mengarahkan potret aktivis LGBT itu diturunkan sambil menjelaskan hal tersebut berbentuk promosi di mana bertentangan dengan polisi PH berhubung isu LGBT.

Pameran bertemakan patriotisme itu menampilkan aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang dan arahan penurunan potret mereka itu dilaporkan diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun tindakan itu dikritik beberapa pihak termasuk Nisha yang merupakan seorang transgender, dan menyifatkan ia tidak selari dengan semangat Malaysia Baharu.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close