Tarbiyah

Dosa halang penerimaan doa

Mohon keampunan daripada Allah dahulu sebelum sebut permintaan

PERHATIKAN doa Nabi Sulaiman ini. Ia adalah contoh menarik yang dipersembahkan dalam al-Quran mengenai adab berdoa kepada Allah. Nabi Sulaiman memohon keampunan dari Allah dahulu sebelum menyebutkan tentang intipati permohonannya yang lain. Firman Allah:
قَالَ رَبِّ ٱغْفِرْ لِى وَهَبْ لِى مُلْكًا لَّا يَنۢبَغِى لِأَحَدٍۢ مِّنۢ بَعْدِىٓ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ
Kata Nabi Sulaiman: ” Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya “. (Surah Sad: 35)

2. Ayat al-Quran ini memberikan kepada kita satu petunjuk bahawa dosa seseorang seakan-akan berupaya menghalang doanya dari diperkenankan oleh Allah. Oleh itu, antara adab yang baik ketika memohon sesuatu dari Allah adalah mendahulukan permohonan keampunan dahulu sebelum menyebutkan permintaan lain.

3. Atas dasar itu Rasulullah ﷺ pernah mengingatkan kita bahawa terjerumus dengan sumber haram berupaya menjadi penghalang yang menyebabkan doa seseorang itu tidak diterima. Sabda Rasulullah ﷺ:
ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
“Kemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dipenuhi dengan sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan diterima? (HR Muslim).

4. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Razi pula menjelaskan bahawa doa ini mengandungi pengajaran bahawa kita seharusnya memulakan doa mengenai urusan keagamaan dahulu sebelum memohon permintaan dunia. Kata al-Razi:
دلت هذه الآية على أنه يجب تقديم مهم الدين على مهم الدنيا
“Ayat ini menunjukkan bahawa wajib bagi kita mendahulukan keutamaan agama dahulu sebelum menyebut tentang perkara urusan dunia.”

5. Oleh yang demikian, ketika berdoa kepada Allah, mulakan pujian kepadaNya, ucapkan selawat kepada Nabi, dan mohonlah keampunan daripada Allah dahulu sebelum menyebutkan permintaan kita.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button