Berita UtamaUtama

Najib gagal dapat perintah larang media bincang kes

Bekas PM berdepan 7 pertuduhan babit dana RM42 juta milik SRC

KUALA LUMPUR, 28 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi perintah larangan untuk menghalang media dan orang awam daripada menerbitkan kenyataan membabitkan pertuduhan jenayah dihadapi, yang mungkin merujuk Najib sebagai bersalah sementara menunggu kesnya diputuskan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati permohonan Najib sebagai tidak kukuh dan dengan itu menolak notis usul bagi perintah larangan.

“Lagipun, terma spesifik bagi perintah larangan yang dimohon, dalam kes ini, jika diberikan akan menjejaskan hak Perlembagaan untuk kebebasan bersuara dan berucap di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta terkeluar daripada keadilan bagi prinsip keadilan terbuka dalam Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Ini adalah sebahagian daripada asas teknikal bahawa skop bagi perintah larangan yang dicadangkan di dalam notis usul itu adalah tidak konsisten dan dalam keadaan ini, saya berpendapat ia tidak menggalakkan objektif undang-undang sebagai instrumen keadilan. Mengambil kira alasannya yang pelbagai, saya dengan ini menolak permohonan ini,” katanya.

Beliau juga berkata, walaupun mahkamah mungkin mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah larangan dengan mengambil kira perintah itu dibenarkan dalam kes sebelum ini, penentuan sebenar terhadap perbicaraan adil dan pentadbiran keadilan membawa kepada mahkamah untuk merumuskan bahawa permohonan itu tidak boleh berjaya berdasarkan alasan berkenaan.

Pertamanya, beliau berkata, undang-undang menghina dan fitnah sedia ada sudah menyediakan langkah-langkah untuk menguruskan mana-mana risiko besar bagi prejudis atau campur tangan dalam sistem keadilan jenayah seumpama itu.

Hakim Mohd Nazlan berkata, keduanya, larangan sebelum ini dalam bentuk sebagai lanjutan kepada undang-undang menghina hanya boleh diberikan dalam keadaan amat luar biasa , iaitu dalam keadaan risiko besar bagi prejudis jelas dilihat sebagai pasti dan serius.

“Iaitu dalam mana-mana keadaan wujud bebanan berat yang menunjukkan kehadiran risiko besar bagi prejudis terhadap perbicaraan adil atau pentadbiran keadilan melibatkan menghina dan larangan sebelum ini memandangkan fakta kes-kes dibicarakan di hadapan seorang hakim yang bersidang sendirian tanpa juri,” katanya.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah bahawa anak guamnya mempunyai hak kepada perbicaraan adil dan bukan diadili oleh media atau mahkamah pendapat orang awam.

Beliau berkata, komen teruk oleh media dan orang awam terhadap anak guamnya mempunyai kecenderungan untuk mengapi-apikan dan mencetuskan kekalutan terhadap pemohon (Najib) dan merit kes itu, sambil menegaskan kenyataan teruk itu akan menyebabkan Najib dikatakan bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.

Muhammad Shafee turut membacakan beberapa laporan daripada laman pemberi maklumat Sarawak Report dan komen daripada orang awam yang diterbitkan dalam Malaysiakini yang beliau sifatkan sebagai tuduhan serius yang mendorong prejudis terhadap Najib.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Shukri Abdull; Peguam Negara, Tommy Thomas; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua turut membuat kenyataan buruk mengenai Najib berhubung kes itu.

“Mereka membuat kenyataan biadap dan berbisa ke atas anak guam saya. Bagaimana beliau akan mendapat perbicaraan yang adil?,” tegas Muhammad Shafee yang mengambil masa hampir tiga jam menghujahkan isu itu.

Beliau juga berkata, pihak pembelaan bimbang dengan pentadbiran keadilan susulan perbicaraan oleh media menerusi komen-komen dibuat orang awam dan artikel diterbitkan berkaitan kes anak guamnya yang mungkin memperlekehkan badan kehakiman.

“Perintah larangan ini akan mencegah orang awam daripada diberikan ‘oksigen publisiti’ yang akan mendatangkan impak teruk ke atas anak guam saya dan perbicaraan,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, bagaimanapun media boleh melaporkan apa yang berlaku dalam mahkamah, termasuk kenyataan tidak adil oleh hakim atau saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Kami tidak menghalang dilaporkan apa-apa yang berlaku dalam mahkamah tetapi kenyataan dan komen oleh orang awam terhadap anak guam saya yang lebih awal menganggap anak guam saya bersalah,” kata Muhammad Shafee sambil menambah mahkamah sepatutnya membenarkan perintah larangan itu kerana bahaya sebenar wujud ekoran perbicaraan oleh media dan orang awam akan menimbulkan prejudis yang akan menjejaskan hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

“Mahkamah ini diberikan bidang kuasa sewajarnya dan juga mempunyai kuasa untuk memberikan perintah lebih awal seperti dimohon oleh pemohon,” katanya.

Ketua Bahagian Rayuan dan Bicara Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, orang awam mempunyai hak untuk membuat kenyataan dan mahkamah tidak boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Beliau berkata, mahkamah tidak akan dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan dalam membuat keputusan.

Merujuk kepada kenyataan dan komen dibacakan oleh Muhammad Shafee, beliau berkata: “Mereka berhak untuk membuat komen seumpama itu”.

“Pemohon boleh mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap mereka, tetapi sehingga sekarang tiada satu kes pun dikemukakan oleh pemohon terhadap mereka di mahkamah,” katanya.

Mohamad Hanafiah juga berkata, Najib dalam afidavitnya untuk menyokong permohonannya juga telah gagal untuk menunjukkan kenyataan-kenyataan yang prejudis terhadapnya untuk mendapatkan perbicaraan adil.

Beliau juga berkata, pemohon juga salah apabila menamakan pendakwa raya sebagai pihak dalam notis usul untuk mendapatkan perintah larangan itu dan adalah sukar bagi mahkamah untuk mengenakan perintah larangan terhadap pihak atau orang awam secara umumnya.

“Mahkamah tidak boleh mengeluarkan perintah larangan terhadap orang awam secara umumnya, Oleh itu, permohonan perlu menamakan responden-responden secara spesifik,” katanya.

Selepas keputusan itu, Muhammad Shafee berkata, beliau akan memfailkan rayuan berhubung keputusan terhadap perintah larangan itu di Mahkamah Rayuan pada Isnin.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), Najib, 65, dituduh, sebagai seorang ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti berkenaan yang diamanahkan untuk mengawal dana milik SRC International berjumlah RM4 bilion, telah melakukan CBT melibatkan sebanyak RM27 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 24 Dis dan 29 Dis, 2014,mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai seorang ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan menguasai kawalan ke atas dana SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan CBT melibatkan RM5 juta di tempat dan tempoh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai seorang ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dipertanggungjawabkan dengan dana milik SRC sebanyak RM4 bilion, telah melakukan CBT melibatkan RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb dan 2 Mac , 2015, mengikut seksyen sama Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa, sebagai seorang penjawat awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah melibatkan RM42 juta semasa beliau terlibat dalam membuat keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan untuk pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau dituduh melakukan rasuah itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011, dan 8 Feb, 2012.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rausah itu atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (“Rentas”) dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close