Berita UtamaUtama

LGBT: ‘Mereka sebenarnya perjuang kebebasan haiwan’

Komuniti songsang tidak faham erti sebenar kebebasan: Mufti Pulau Pinang

BANGI, 28 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebenarnya memperjuangkan kebebasan haiwan, dan bukan kebebasan manusia yang sepatutnya dibatasi agama dan adat, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau yang mengulas desakan beberapa pihak termasuk komuniti itu supaya kerajaan menggantung semula potret aktivis LGBT dalam festival pameran fotografi di Georgetown berkata, golongan berkenaan sebenarnya tidak memahami erti sebenar kebebasan.

Wan Salim berkata, Islam tidak menentang aktiviti seni tetapi jangan sampai terlepas kendalian agama dan adat sehingga boleh membawa negara ke jurang keruntuhann.

“Biarlah segala kegiatan seni yang kita lakukan mampu menyumbang kepada pembinaan peribadi dan jati diri bangsa kita, bukan seni yang liar dan tidak bermoral yang boleh membawa bangsa dan negara kita ke jurang keruntuhan.

“Apa yang mereka perjuangkan sebenarnya ialah kebebasan haiwan kerana kebebasan manusia mestilah dibatasi agama dan adat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Serentak itu, beliau menggesa kerajaan Pulau Pinang supaya tidak tunduk dengan desakan golongan songsang berkenaan, untuk menarik balik arahan menurunkan potret LGBT dalam festival pameran itu.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa mengaku mengarahkan potret aktivis LGBT itu diturunkan sambil menjelaskan hal tersebut berbentuk promosi di mana bertentangan dengan polisi PH berhubung isu LGBT.

Pameran bertemakan patriotisme itu menampilkan aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang dan arahan penurunan potret mereka itu dilaporkan diarahkan oleh kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun tindakan itu dikritik Nisha yang merupakan seorang transgender, dan menyifatkan ia tidak selari dengan semangat Malaysia Baharu.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close