Berita UtamaUtama

Kastam kata Tabung Amanah tak lulus RM19.4 bilion bayaran balik GST

RM63.5 bilion daripada RM82.9 bilion dimasukkan ke dalam Tabung Amanah bagi bayaran balik cukai GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei 2018

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendedahkan Tabung Amanah yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebelum ini, tidak meluluskan RM19.4 bilion bagi bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Sebaliknya, Tabung Amanah meluluskan bayaran balik berjumlah RM63.5 bilion daripada RM82.9 bilion yang dituntut JKDM bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Mei 2018.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkta, JKDM pernah menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan untuk pembayaran balik GST bagi tempoh berkenaan.

“Tabung Amanah adalah satu kumpulan wang yang diwujudkan bagi tujuan pembayaran balik GST di bawah Seksyen 54, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014). Semua bayaran GST dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dapat dilaksanakan.

“Dalam tempoh 1 April 2015 hingga 31 Mei 2018, pihak JKDM telah melaporkan dalam Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa keperluan pulangan balik GST adalah berjumlah RM82.9 bilion.

“Jumlah ini adalah berdasarkan kepada Borang GST-03 (untuk menuntut bayaran balik GST) yang telah difailkan ke dalam sistem GST JKDM oleh pembayar cukai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, jumlah penuh keperluan bayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion tidak dipindahkan ke dalam Tabung Amanah, sebaliknya menerima RM63.5 bilion.

Sebelum ini, pada sesi pembentangan Rang Undang-Undang GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menuduh bayaran balik GST tertangguh sehingga dua tahun kerana pentadbiran Barisan Nasional (BN) ‘merompaknya’.

Bagaimanapun, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah menafikan dakwaan kehilangan wang itu, sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menjelaskan semua hasil kutipan GST dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan sebelum disalurkan kepada Tabung Amanah untuk membayar tuntutan balik GST berdasarkan permintaan JKDM.

Mohd Irwan membuat laporan kepada SPRM hari ini, berhubung dakwaan kehilangan RM18 bilion dalam dana amanah pembayaran balik GST itu.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close