Berita UtamaDuniaUtama

Hamas, Israel setuju gencatan senjata

PBB, Mesir cuba jadi orang tengah halang konflik memuncak

SEMENANJUNG GAZA, 28 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan rejim pengganas Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata semalam, kata dua pegawai Palestin, persetujuan yang mengakhiri kemuncak pertempuran menjurus kepada peperangan.

Tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Israel, tetapi seorang pegawainya yang enggan nama disiarkan menafikan satu gencatan senjata dicapai.

Israel jarang mengakui mencapai sebarang perjanjian dengan Hamas, sebuah kumpulan dianggap pengganas oleh Zionis, yang telah melalui tiga perang sejak sedekad lalu.

Peningkatan serangan roket sejak beberapa minggu kebelakangan ini mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mesir mencuba campur tangan menjadi orang tengah untuk menghalang konflik besar-besaran.

Dua hari lalu, pesawat rejim Israel menyerang lebih 150 kawasan di Gaza dan pejuang Palestin melepaskan sejumlah roket termasuk peluru berpandu jarak jauh ke dalam Israel, memuncakkan lagi pertempuran itu.

“Usaha Mesir berupaya mengembalikan keadaan tenang antara pihak Palestin dan Israel yang akan menamatkan ketegangan terkini. Pihak Palestin akan menghormati keadaan tenang itu selagi Israel menerimanya,” kata seorang pegawai Palestin kepada Reuters.

Seorang pegawai kedua Palestin yang tahu mengenai rundingan berkata, gencatan senjata akan bermula 10.45 malam.

“Berikutan usaha Mesir dan antarabangsa, satu gencatan senjata antara Palestin bermula secara bersyarat berkaitan komitmen pendudukan,” kata jurucakap Jawatankuasa Tentangan Popular, kumpulan kecil di Gaza, Abu Mujahed.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close