Berita UtamaKata PedangUtama

Adakah UMNO, PAS peduli?

Rahmatan lil alamin tapi masing-masing bawa hal sendiri

PEDANG puas hati baca tulisan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad di sini. Beliau tanpa berselindung mengkritik tidak kira Barisan Nasional (BN), UMNO atau PAS, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan gabungan rapuh Pakatan Harapan (PH) menguasai pentadbiran negara.

Beliau turut mengulas mengenai kekalahan UMNO dalam PRU14; UMNO tidak terkubur; falsafah perjuangan UMNO masih relevan; patutkah UMNO menjadi parti pelbagai kaum?; Di mana salahnya? Politik wang; pemulihan imej dan kredibiliti; isu Najib; persidangan agung UMNO ibarat pesta; fokas kepada kesilapan PH; dan pembangkang yang bertanggungjawab dan beradab.

Namun, Pedang tertarik apabila beliau memperkatakan mengenai kerjasama UMNO dan PAS serta dengan pertubuhan Melayu dan Islam yang lain. Semuanya bagi Tun Abdul Hamid adalah demi survival serta kepentingan bangsa Melayu, Islam dan negara, tanpa mengetepikan hak bukan Melayu dan penganut agama lain.

Pedang juga tertarik dengan kenyataan beliau pada perenggan pertama lagi, yang mencabar rakyat Malaysia daripada kaum lain – jika berani mengatakan bahawa mereka tidak menerima apa-apa nikmat daripada pemerintahan yang diterajui UMNO sebelum ini.

Parti rasis dan cauvinis DAP atau parti anti-Islam seperti MCA, MIC, Gerakan dan SUPP – ada berani sahut cabaran itu? Sebaliknya, segala kaum di Malaysia, hatta daripada suku minoriti di Sarawak dan Sabah juga tidak boleh menafikan bahawa mereka tidak mendapat nikmat hasil pemerintahan kerajaan yang diterajui UMNO sebelum ini.

Menariknya, teguran beliau berhubung kerjasama UMNO-PAS juga pernah Pedang bangkitkan sebelum ini. Dalam tulisan itu, Tun Abdul Hamid mengatakan bahawa UMNO memperoleh lebih banyak undi orang Melayu iaitu 40 peratus, berbanding PH (23 peratus) dan PAS (25 peratus). Ini bermakna, majoriti pengundi Melayu masih menolak PH.

[BACA: Bersediakah PAS, UMNO bersatu demi survival Islam, Melayu?]

Jika dicampur pengundi Melayu yang mengundi UMNO dan PAS pada PRU14, 9 Mei lalu, jumlahnya adalah 65 peratus. Ertinya, jika UMNO dan PAS boleh bekerjasama, mereka boleh mendapat 65 peratus undi Melayu.

Namun, sebagaimana pernah Pedang katakan, bolehkah kedua-dua parti Melayu dan Islam itu bekerjasama? Kenapa tidak boleh bergabung membentuk satu pakatan yang kuat untuk mengembalikan semula kuasa Melayu dalam pentadbiran negara, yang sekarang ini dilihat lemah di bawah PH, hingga Islam, raja-raja dan hak keistimewaan Melayu terancam?

Jika tidak boleh pada PRU15 (Pedang katakan PH akan kekal memerintah selepas PRU15), susunan kerjasama sebagaimana dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Balah, Kelantan, Datuk Abd Aziz Derashid, bahawa UMNO dan PAS mesti ada pakatan sulit untuk berdepan PH, sekurang-kurangnya mesti dilakukan mulai sekarang.

Memang benar persengketaan sesama sendiri orang Melayu sehingga berpecah-belah, digunakan sebagai batu loncatan oleh orang Cina dan kaum lain untuk berdiri di belakang DAP. Bagi kaum Cina, MCA dan Gerakan sudah tidak ada lagi dalam peta politik tanah air. Begitu juga MIC yang ditolak kaum India.

Tetapi, sebagaimana kata Tun Abdul Hamid, kedua-dua parti itu mesti mengetepikan kepentingan diri, sebaliknya mengutamakan agama, bangsa dan negara, dalam mencorak hubungan kerjasama demi penyatuan bangsa Melayu dan Islam.

Dan, Pedang rasa kedua-dua parti ini boleh bergabung. Hanya memerlukan orang tengah – mungkin juga oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam. Yang Pedang nampak sekarang ini tidak ada pihak luar yang boleh memanggil kedua-dua parti itu duduk semeja berbincang.

Pedang pun sedia hadir bersama orang tengah untuk mendengar perbincangan kedua-dua pemimpin tertinggi parti. Pedang nak lihat siapa yang tidak mahu menerima kerjasama demi bangsa dan agama. Pedang nak lihat siapa yang sanggup mengetepikan kepentingan diri demi bangsa dan agama. Senang sikit Pedang belasah!

Mungkin, Tun Abdul Hamid juga setuju hadir mendengar. Susah sangatkah untuk meninggalkan ego perjuangan yang merugikan agama, bangsa dan negara, dengan menjadikan Islam sebagai pembawa rahmat.

Orang UMNO dan orang PAS pun bukannya bodoh-bodoh belaka, tetapi sudah terpelajar hasil daripada pemerintahan yang diterajui UMNO sebelum ini. Jadi apa agaknya yang menghalang mereka duduk bersatu. UMNO Islam, PAS pun Islam – orang Melayu yang mahu melihat mereka bersatu pun Islam.

Ridhuan Tee dan rakan seperjuangan Pedang yang berbangsa lain tetapi Islam, juga mahu melihat Melayu bersatu. Pelik, jika Melayu UMNO dan Melayu PAS tidak mahu bersatu demi Islam, sedang di mulut mereka selalu melaungkan Islam rahmatan lil alamin.

Kata Pedang: Jangan cakap tak serupa bikin kerana orang kafir, orang kaum lain tak akan hormat orang Islam, bangsa Melayu yang berbalah sesama sendiri.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close