Berita UtamaDuniaUtama

Krisis kewangan UNRWA ancam pelarian Palestin

Jordan gesa masyarakat antarabangsa bertanggungjawab kekal hak Palestin

AMMAN, 27 Zulkaedah 1439H, Khamis – Jordan memberi amaran ‘bencana kemanusiaan’ kemungkinan berlaku ke atas pelarian Palestin di rantau ini, berikutan kekurangan peruntukan kewangan yang dihadapi agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata, krisis kewangan yang dihadapi Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) akan menyekat peluang pendidikan, hak perubatan dan keselamatan pelarian Palestin.

Kebimbangan itu diluahkan Ayman dalam satu kenyataan, selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya UNRWA, Pierre Krahenbuhl, baru-baru ini.

“UNRWA menghadapi defisit kewangan berbahaya yang mengancam kepada bencana pelarian jika ia tidak dilindungi sebelum peruntukan kewangannya habis,” katanya.

Januari lalu, kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan rancangan untuk menyekat AS$65 juta bantuan kepada UNRWA, sehingga mengheret agensi berkenaan kepada krisis kewangan.

UNRWA sebelum ini memberi amaran bahawa agensi itu tidak lagi mempunyai dana untuk program pusingan ketiga dan keempat agensi itu, berikutan mengalami defisit sebanyak AS$246 juta.

Ayman berkata, masyarakat antarabangsa perlu bertanggungjawab terhadap pelarian Palestin di bawah resolusi Majlis Keselamatan PBB, untuk mengekalkan hak mereka.

“Jordan memberi amaran berhubung bahaya menyentuh peranan UNRWA yang perlu terus menyediakan perkhidmatan di bawah mandat antarabangsa,” kata Ayman.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close