Berita UtamaDunia

Gempa bumi Lombok: Angka korban meningkat 105 orang

Lebih 20,000 penduduk hilang tempat tinggal, ribuan bangunan runtuh

LOMBOK, 26 Zulkaedah 1439H, Rabu – Angka kematian akibat kejadian gempa bumi di pulau peranginan Lombok, Indonesia meningkat kepada 105 mangsa.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, sebahagian besar yang terbunuh direkodkan di bahagian utara Pulau Lombok, berhampiran pusat gempa.

Katanya, angka kematian dijangka terus meningkat selepas semua maklumat mengenai mangsa diperoleh pasukan penyelamat.

“Proses mengumpul dan mengemaskini data mangsa sentiasa berterusan dan usaha menyelamat masih diteruskan,” katanya.

 Selain itu, dilaporkan 236 mangsa yang lain mengalami kecederaan manakala lebih 20,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, termasuk ribuan bangunan runtuh.

Keadaan ini memaksa penduduk setempat untuk mendapatkan perlindungan sementara dengan mendirikan khemah-khemah di sawah padi dan beberapa kawasan lain.

Gempa bumi berukuran 7.0 pada skala richter ini menggegar bumi Lombok seminggu selepas gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter melanda, yang mengorbankan 17 mangsa termasuk seorang warga Malaysia. – Agensi

 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close