Dunia

Mossad dituduh bunuh ketua program peluru berpandu Syria

Dr Aziz Asbar didakwa terbabit dalam projek senjata kimia yang digunakan rejim Bashar dalam serangan membunuh lebih 1,240 orang awam di kawasan dikuasai pejuang Syria

NEW YORK, 25 Zulkaedah 1439H, Selasa – Agensi perisikan rejim pengganas Israel, Mossad, mengaku membunuh saintis Syria, Dr Aziz Asbar dalam serangan bom kereta Sabtu lalu, lapor seorang pegawai penyiasatan Asia Barat kepada akhbar The New York Times.

Pegawai itu, yang enggan didedahkan nama, turut mengesahkan Mossad turut terbabit dalam tiga pembunuhan terancang yang lain.

Pegawai itu turut percaya pembunuhan Asbar dilakukan kerana pembabitan beliau dalam program peluru berpandu dan senjata kimia rejim Syria.

Pihak Syria dan Hezbollah di Lubnan meletakkan kesalahan ke atas bahu Israel dalam insiden, namun negara Zionis itu tidak memberikan sebarang maklum balas menyangkal dakwaan berkenaan.

Kumpulan Syiah Hezbollah yang mendapat sokongan rejim Iran adalah sekutu kuat rejim Bashar Al-Assad, yang turut melakukan kekejaman dan pembunuhan terhadap rakyat Syria.

Asbar, yang menjadi salah seorang pengarah di Syrian Scientific Studies and Research Center (SSRC), mengetuai Sektor 4 yang memfokuskan kepada pembangunan program peluru berpandu balistik dan roket Syria.

Sektor itu dilaporkan bertanggungjawab mengendalikan Institut 4000, yang yang turut menjalankan beberapa program senjata kimia bagi pihak Syria. Asbar dikatakan turut terbabit dalam pengeluaran senjata kimia termasuk gas sarin.

Sebelum ini, kumpulan pejuang bersenjata Syria – Abu Amara Brigades – mendakwa mereka membunuh Asbar dengan meletupkan kereta dinaikinya.

Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini meletakkan kesalahan ke atas rejim Bashar berikutan penggunaan gas sarin dalam serangan ke kawasan dikuasai pejuang di Khan Sheikhoun pada April 2017, menyebabkan 100 orang terbunuh.

Rejim Syria juga dipertanggungjawabkan atas kesalahan melakukan serangan gas sarin terburuk pada 2013 di pinggir Damsyik, menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk terbunuh.

Kerajaan Barat mendakwa SSRC adalah kemudahan rahsia kerajaan rejim Bashar. Satu serangan udara dilancarkan ke atas SSRC, di mana rejim Bashar menuduh ianya dilakukan rejim Israel.

April lalu, Britain dan Perancis melancarkan serangan ke atas satu lagi pusat penyelidikan rejim Syria di Damsyik sebagai tindak balas serangan gas sarin di Douma yang membunuh 40 orang awam. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close