Dunia

Dua pejuang al-Qassam maut dibedil kereta kebal rejim Zionis

Rejim pengganas Israel serbu, tembak utara Gaza

GAZA, 25 Zulkaedah 1439H, Selasa – Dua pejuang Briged Izz al-Din al-Qassam, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) terbunuh dalam serangan rejim pengganas Israel di utara Gaza, hari ini.

Ahmed Abdallah Marjan, 23, dan Abd al-Hafez Mohammed al-Silawi, 23, terbunuh selepas kereta kebal rejim Zionis melepaskan tembakan ke arah mereka ketika berada di sebuah menara tinjau.

Briged Izz al-Din al-Qassam, mengesahkan kedua-duanya adalah anggota mereka.

Rejim pengganas Zionis menghantar dua buah kereta perisai menyerbu kawasan dikawal al-Qassam, apabila askar Zionis mendakwa pejuang Palestin melepaskan tembakan dari kawasan itu.

Tentera Israel turut menyiarkan paparan gambar di media sosial, menunjukkan dua anggota al-Qassam melepaskan tembakan ke arah pasukan tentera Israel pagi tadi.

Menurut Pusat Media Palestin, bedilan peluru kereta kebal Israel menyasarkan kawasan Asqalan di bahagian utara Gaza.

Sejak 30 Mac, lebih 160 orang awam Palestin dibunuh Zionis, dalam kempen tunjuk perasaan ‘Great March of Return’ menuntut mereka dibenarkan pulang ke kampung yang dirampas.

Sementara itu, Hamas mengutuk serangan itu sambil menyifatkan ia adalah tindakan agresif rejim Zionis ke atas warga Palestin.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, pergerakan itu tidak sesekali akan membiarkan rejim pengganas Israel bertindak sesuka hati, tanpa membayar harga yang tinggi.

“Hamas tidak akan membenarkan Israel menyasarkan kawasan keselamatan dan anggota Hamas tanpa membayar harga sebagai balasan. Palestin mempunyai keupayaan untuk menangani pencerobohan Israel,” katanya. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close