Pendapat

Apakah pemimpin sekarang sudah tidak ada kerja hingga mahu mengiktiraf komunis?

Pemikiran komunis masih lagi kuasai segelintir ultra kiasu hari ini

APA sudah jadi dengan segelintir pemimpin hari ini yang turut terikut-ikut dengan rentak pemikiran ultra kiasu komunis yang mahukan komunis diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan dan mahukan perjuangan mereka dimasukkan dalam buku teks sekolah. Atas dasar apa komunis mahu diiktiraf sebagai pejuang? Buktikan bahawa komunis adalah pejuang kemerdekaan.

Teramat sedih apabila pemimpin Melayu tidak dapat bezakan antara pemimpin Melayu berfahaman kiri dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Cina (Chin Peng) pada ketika itu.

Sejak bila PKM (MPAJA) diiktiraf sebagai pejuang hanya kerana mereka menentang kependudukan Jepun? Tidakkah kita sedar bahawa permusuhan China-Jepun telah bermula sejak 1894? Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu pada 1941, Jepun menggunakan segala peluang dan ruang untuk melepaskan dendamnya kepada orang Cina.

Ketika Perang China-Jepun I pada tahun 1894-1895, China ketika itu di bawah Dinasti Qing telah dikalahkan oleh Jepun dan dipaksa menyerahkan Taiwan dan terpaksa mengiktiraf ‘kemerdekaan’ Korea melalui Perjanjian Shimonoseki. Pendek kata, dendam antara kedua negara ini tidak pernah padam dan berlanjutan, seterusnya mencetuskan Perang China-Jepun II, pada 1937-1945.

Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu pada tahun 1941, Jepun menggunakan segala peluang dan ruang untuk membalas dendam kepada orang Cina di Tanah Melayu. Orang Cina tidak ada pilihan lain, terpaksa melarikan diri ke dalam hutan untuk menentang keganasan Jepun. 

Tidak timbul soal perjuangan kemerdekaan kerana permusuhan itu lebih besar antara kedua bangsa ini daripada perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.

Bukti jelas dapat dilihat apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua pada 1945, PKM telah keluar dari hutan dan mahu menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dan membalas dendam kepada orang Melayu kerana berbaik dengan Jepun.

Nasib baik British kembali semula selepas 14 hari Perang Dunia II tamat. Jika tidak negara ini sudah dikuasai PKM. Selepas berjaya menumpaskan PKM, walaupun tidak sepenuhnya, darurat terpaksa diisytiharkan 1948.

Sekali lagi PKM terpaksa kembali ke hutan dan melancarkan perang gerila. Keadaan ini berlanjutan sehingga tahun 1989. Ya, tidak nafikan British menggunakan orang Melayu untuk bekerja sebagai polis bagi menjejaki komunis. Dalam maksud, komunis menentang polis Melayu kerana bekerja untuk British. Apakah itu sudah cukup untuk mengatakan bahawa menentang polis Melayu itu bermakna menentang British.

Justeru, atas dasar apa komunis mahu diiktiraf sebagai pejuang. Apakah kita tidak bersimpati dengan tentera dan polis terkorban dan menjadi cacat yang masih hidup sehingga ke hari ini

Kita perlu ingat dalam tempoh 12 tahun darurat diisytiharkan, lebih kurang 11,000 nyawa terkorban, termasuk 2,500 orang awam. Perjuangan PKM hanya dapat dihapuskan pada tahun 1989. Itupun tidak sepenuhnya kerana pemikiran komunis masih lagi menguasai segelintir ultra kiasu hari ini.

Untuk makluman gerakan berhaluan kiri atau radikal bermula setelah wujudnya kebangkitan nasionalisme Melayu yang berpendidikan Melayu, berpendidikan Timur Tengah dan berpendidikan Inggeris. Kebangkitan ini dipelopori oleh Kaum Muda dan Kesatuan Melayu Muda sekitar tahun 1920-an, 1930-an dan 1940-an.

Justeru, nama-nama seperti Moktaruddin Laso, Dr Burhanuddin Helmy, Ibrahim Yaakub, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam, Abdul Karim Rashid, Harun Aminurashid, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, tidak boleh disamakan dengan PKM yang dipelopori sebahagian orang Cina. Fahaman sama, tetapi perjuangan berbeza.

Saya tidak fikir nama-nama Melayu tersebut sanggup menggadaikan maruah negara kepada PKM yang diketuai oleh Chin Peng.

Saya bersetuju dengan nama-nama Melayu berfahaman kiri yang memperjuangkan kemerdekaan, tetapi bukan PKM dan MPAJA yang menjadi idola sesetengah ultra kiasu sehingga sanggup membina tugu peringatan PKM di Nilai, Negeri Sembilan.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close