Berita UtamaUtama

Program khas haji 1MDB tidak akan diteruskan

Pemberian kuota hanya untuk jemaah pertama kali mengerjakan haji

KUALA LUMPUR, 17 Zulkaedah 1439H, Isnin – Program Khas Haji tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan diteruskan mulai tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, ini memandangkan sumber dana yayasan ini mempunyai kaitan dengan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Sejak 2011 hingga tahun lepas, seramai 5,711 jemaah haji telah ditaja dengan kos hampir RM57 juta,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN – Pontian) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ahmad yang memohon pertimbangan kerajaan membenarkan 1,200 jemaah yang sudah menerima surat tawaran untuk mengerjakan haji pada tahun ini menggunakan dana mereka sendiri, Mujahid berkata, keutamaan pemberian kuota adalah untuk mereka yang pertama kali mengerjakan haji.

“Saya ingin jelaskan bahawa kuota mereka ini datang daripada Yayasan 1MDB, jadi kerajaan baharu tidak akan mengambil kuota ini daripada Tabung Haji walaupun penerima tawaran sanggup membayar sendiri untuk mengerjakan haji,” katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close