Berita UtamaUtama

Lencana, gelang pengenalan perlu sentiasa bersama jemaah haji

Buat laporan segera jika dua item hilang, tercicir: TH

MAKKAH, 11 Zulkaedah 1439H, Selasa – Jemaah haji diseru untuk sentiasa memastikan lencana berserta gelang pengenalan diri yang dibekalkan pihak Tabung Haji (TH) berada bersama mereka ketika sepanjang mengerjakan haji di Tanah Suci.

Pengarah Operasi Makkah, Datuk Ahmad Sohaimi Abd Rahim berkata, kedua-dua item penting yang juga bertindak sebagai pengenalan diri ini harus dijaga dan dibawa ke mana-mana sahaja oleh jemaah sepanjang mereka mengerjakan haji kerana ia adalah pengganti kepada passport mereka.

“Jemaah haji perlu menganggap kedua-dua barang ini sebagai dokumen yang sangat penting dan dijaga sebaik mungkin bagi mengelakkan ia tercicir atau hilang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sepanjang berada di Tanah Suci, beliau berkata, lencana serta gelang pengenalan diri itu digunakan sebagai pengenalan diri kerana passport jemaah akan dipegang pihak berkuasa Arab Saudi.

Katanya, pada kedua-dua barangan tersebut terdapat butiran peribadi jemaah bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan atau orang luar memberi bantuan sekiranya mereka ditimpa masalah dan gagal menghubungi petugas TH.

Sekiranya kedua-dua dokumen tersebut didapati hilang atau tercicir, Ahmad Sohaimi meminta jemaah agar segera membuat laporan kepada kaunter perkhidmatan pelanggan TH yang berdekatan dan akan diganti dengan dokumen baharu serta-merta.

“Setiap laporan kehilangan akan direkodkan dalam sistem kita untuk melihat trend bagi punca kehilangan dokumen-dokumen tersebut, adakah disebabkan oleh kecuaian jemaah atau kualiti untuk tujuan penambahbaikan.

“Sekiranya hasil laporan mendapati kebanyakan jemaah cuai dan menganggap bahawa dokumen itu tidak penting, kita akan tingkatkan kesedaran dalam kalangan mereka untuk menjaga kedua-dua item tersebut,” katanya.

Setiap lencana pengenalan diri tertera nombor passport jemaah, logo TH serta Jalur Gemilang dan nombor maktab yang ditulis dalam bahasa Arab.

Pada gelang tersebut pula terdapat nombor telefon yang boleh dihubungi sekiranya ingin mendapatkan bantuan dan mempunyai ciri-ciri keselamatan dwi-kunci bagi mengurangkan risiko ia daripada tercicir atau tertanggal.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close