Berita UtamaUtama

‘Dr Maszlee perlu tumpu isu fundamental pendidikan’

Menteri patut fokus isu prasarana sekolah luar bandar, kaedah tingkatkan sistem pembelajaran, displin murid, beban berat beg sekolah dan tugas guru

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 9 Zulkaedah 1439H, Ahad – Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah, dengan harapan dapat mengurangkan kos yang ditanggung ibu bapa terutama kasut putih yang cepat kotor.

Namun, Presidennya, Ustaz Mohd Azizee berkata, Menteri Pendidikan tidak perlu nampak terlalu bersungguh memfokuskan isu kasut hitam, berbanding isu lain yang lebih penting.

Katanya, iGuru sangat berharap Dr Maszlee Malik akan memberi keutamaan kepada perkara yang bersifat fundamental di dalam pendidikan negara. 

“Banyak isu sebenarnya, seperti isu berkaitan penambahbaikan prasarana sekolah luar bandar, meningkatkan sistem pembelajaran, kemenjadian dan disiplin murid serta memperkasa sekolah-sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan ibu bapa bagi semua kaum.

“Bukan itu sahaja, Dr Maszlee juga boleh fokus isu beban berat beg sekolah pelajar yang menjadi rungutan ibu bapa. Antara lain isu beban tugas guru untuk ditangani dan diatasi segera. Semua ini perlu diberi tumpuan,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Selain itu katanya, Dr Maszlee juga disyor untuk melihat semula dasar pendidikan negara, dengan hasrat menjadikan pendidikan kita bertambah maju. 

“Aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah berkaitan kurikulum pendidikan. Kita harapkan kementerian dapat memastikan kurikulum pendidikan negara ditambah baik dengan dasar-dasar yang memberikan kebaikan kepada para pelajar.

“Ia sekaligus menjadikan Malaysia hub pendidikan serantau. Dasar-dasar tersebut hendaklah menjamin apa yang termaktub dalam dasar pendidikan dan kerangka falsafah pendidikan negara,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close