Berita UtamaUtama

‘Ada 1001 sebab rakyat mesti tolak PH dalam PRK Sungai Kandis’

Kerajaan gagal tunai janji, bersikap rasis, liberal, terlalu memberi buka kepada LGBT, buka ruang untuk mempersenda Islam

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 9 Zulkaedah 1439H, Ahad – PAS mempunyai alasan tersendiri tidak menghantar calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, bagi mengelakkan undi pembangkang tidak pecah.

Namun yang lebih penting, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, parti Islam itu berharap agar Pakatan Harapan (PH) lebih mudah ditewaskan.

Katanya, untuk kali ini PAS tidak akan membiarkan PH menang di Sungai Kandis ekoran gagal menunaikan janji kepada rakyat, ditambah dengan sikap kerajaan yang tidak menjaga kepentingan Islam.

“PH mesti dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis. Ia menjadi satu isyarat kepada kerajaan PH bahawa rakyat tidak mahu terus dipermain dengan kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya seperti hapuskan tol, turunkan harga minyak, hapuskan hutang peneroka felda dan banyak lagi yang boleh disenaraikan kemudian.

“Kerajaan PH dilihat sangat tidak seimbang. Rasis dan terlalu membuka jalan kepada persendaan Islam. Suara – suara yang mengundang keresahan ummat Islam makin marak bebas dan tidak diambil tindakan yang wajar oleh pihak kerajaan PH.

“Seperti gesaan supaya Maahad Tahfiz ditutup, terlalu memberi muka kepada LGBT, pemikiran anti hadis, posisi penting dalam sektor kehakiman dan undang-undang tidak diberikan kepada orang Islam, pemikiran liberal.

“Lebih teruk terdapat individu yang didakwa menyokong gerakan pengganas jadi pemimpin kerajaan, dominasi DAP yang sangat skeptikal terhadap perjuangan Islam dalam PH dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Ustaz Nasrudin menggesa pengundi Sungai Kandis supaya tidak memangkah calon Pakatan Harapan.

“Kita menghormati hak memilih, tetapi kita seru supaya menolak PH. Anda mempunyai 1001 sebab untuk menewaskan PH dalam PRK Sungai Kandis.

“Kekalahan PH kelak adalah untuk menyentak lamunan mereka yang masih asyik dengan kuasa yang dimiliki agar tunaikan janji pilihan raya dan tidak lagi membohongi rakyat,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close