KolumnisUtama

Wanita hanyut dibawa gelombang feminisme

Manhaj Islam lebih dahulu tetapkan hubungan kesalingan, heteronormativiti lelaki dan perempuan

FEMINISME disimpulkan secara simplistik sebagai sebuah idealogi yang memperjuangkan hak asasi wanita. Feminisme lahir secara berperingkat dan dibahagikan oleh para sarjana dari Barat kepada beberapa gelombang (wave of feminism). Setiap gelombang ini mempunyai karakteristik yang berbeza, bahkan mempunyai tujuan yang berlainan antara satu sama lain.

Feminisme – idealogi yang tidak konsisten

Memandangkan feminisme sekadar idealogi yang tercetus disebabkan oleh peristiwa tertentu di dalam sejarah, maka, ia tidak mempunyai satu rujukan yang khusus. Tiada kitab tertentu, bahkan tiada tokoh yang spesifik untuk menentukan definisi feminisme secara seragam. Maka tidak hairanlah terdapat beberapa mazhab feminisme yang bercanggah antara satu sama lain; antaranya feminisme radikal, feminisme liberal, feminisme sosialis, eko-feminisme dan feminisme kultural.

Keluar daripada kemelut Revolusi Perindustrian

Gelombang feminisme yang pertama terhasil antara lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke 20. Ia tercetus disebabkan oleh Revolusi Perindustrian yang telah memindahkan peranan tradisional wanita di rumah kepada menjadi buruh di kilang-kilang dan terlibat secara langsung dengan ekonomi negara. Pada saat tersebut, para wanita di Barat dibuli dalam pelbagai aspek.

Kebajikan mereka terabai, dipaksa bekerja lebih masa bahkan dengan gaji yang lebih sedikit berbanding lelaki, suasana kerja yang tidak selamat. Dalam masa yang sama, mereka masih dituntut untuk melunaskan dengan beban kerja rumah. Yang lebih teruk daripada itu, wanita-wanita tersebut tidak mempunyai kata putus dalam hal ehwal sosial, politik, ekonomi dan seumpamanya.

Konvensyen Seneca Falls pada tahun 1848 menjadi titik tolak gerakan hak asasi wanita secara politikal di Barat. Konvensyen ini bertujuan untuk membincangkan hal ehwal wanita dari aspek sosial, sivil, agama dan hak-hak wanita, yang mana seterusnya menghasilkan Perisytiharan Sentimen dan Keluhan Wanita dengan mukadimah:

“Kami memegang kebenaran ini untuk menjadi jelas: bahawa semua lelaki dan wanita diciptakan sama; bahawa mereka dikurniakan oleh Pencipta mereka dengan hak tertentu yang tidak dapat dipinda …”

Maka wanita menyeru untuk mencabar kultus rumahtangga (cult of domesticity) dengan mengadakan demonstrasi jalanan, meminta hak untuk mengundi (suffrage), kebebasan bersuara dan lain-lain perkara yang bebas dilakukan oleh lelaki di Barat.

Kebanyakan pejuang hak asasi wanita Barat pada ketika itu hanya menumpukan pada masalah yang dihadapi wanita berkulit putih kelas pertengahan. Perjuangan mereka tidak meliputi kumpulan-kumpulan lain yang turut mengalami diskriminasi dan penindasan.

Gerakan wanita menjadi lebih kompleks

Gelombang feminisme yang kedua bermula selepas Peperangan Dunia Ke-2, yang mana fasa selepas peperangan di kebanyakan negara menyebabkan pelbagai isu sosial melanda. Terdapat pelbagai gerakan sivil tampil, termasuklah gerakan feminisme dengan hala tuju yang sedikit berbeza dengan gelombang sebelumnya.

Kali ini feminisme berpaksikan seksualiti,hak di tempat kerja dan hak-hak reproduksi. Antara seruan yang lain adalah menambahbaik undang-undang dan perlembagaan negara supaya menjamin kesamarataan sosial antara lelaki dan wanita. Kemelut pasca-peperangan menyebabkan perjuangan berkait hak-hak wanita sedikit tenggelam dan tercari-cari rentak.

Ada gerakan yang menentang objektifikasi wanita, contohnya pertandingan ratu cantik. Ada gerakan yang terus menentang kultus rumahtangga dan kezaliman patriarki. Ada gerakan yang mencabar peranan tradisional wanita sebagai isteri dan ibu. Bahkan ada juga gerakan yang mula mempersoalkan identiti jantina biologi dan jantina berasaskan konstruk sosial.

Kepelbagaian agenda dalam gelombang kedua ini membawanya supaya berbeza dengan gelombang pertama yang hanya menumpukan wanita kelas pertengahan berkulit putih. Gelombang kedua feminisme menawarkan agenda perjuangan meliputi wanita dari pelbagai kelas, wanita selain berkulit putih serta wanita dari negara-negara membangun.

Slogan mereka adalah “perjuangan wanita adalah perjuangan kelas-kelas manusia”. Gelombang ini cuba mengaitkan perjuangan kesamarataan jantina dengan perjuangan kesamarataan bangsa dan tahap ekonomi manusia. Maka dengan itu, tidak hairanlah gelombang kedua feminisme begitu kompleks untuk difahami intipatinya.

Namun begitu, antara kejayaan yang dianggap telah dikecapi pada peringkat gelombang ini adalah: lebih ramai wanita menjadi pemimpin, peningkatan taraf pendidikan wanita, penglibatan wanita dalam perniagaan dan politik, hak “menguasai tubuh badan wanita” seperti hak menggugurkan kandungan, penggunaan pil perancang, penerimaan seksualiti wanita, kesedaran awam mengenai hak asasi wanita dan kewujudan bidang kajian mengenai feminisme dan hak kesamarataan wanita.

Pasca-modernisme menambah kekeliruan feminisme

Gelombang feminisme ketiga bermula awal 90-an, ia berpaksikan idealogi pasca-modernisme yang meletakkan nilai-nilai manusia berasaskan konstruk sosial yang begitu abstrak. Contohnya, konstruk sosial bagi istilah “jantina” adalah bagaimana seseorang itu bertindak dan berfikir, dan bukanlah menurut jantina biologinya ketika lahir.

Bahkan gelombang ketiga feminisme ini cukup berbeza dengan gelombang-gelombang sebelumnya kerana mencabar konsep dan definisi wanita itu sendiri; sama ada dari aspek peranan kewanitaan, tubuh badan dan fizikal wanita, orientasi seksual, identiti jantina dan pematuhan terhadap konsep heteronormativiti.

Gelombang awal feminisme masih menitikberatkan identiti kesopanan wanita dan menolak objektifikasi wanita. Namun, gelombang ketiga feminisme cuba mengetengahkan apa sahaja watak yang wanita pilih untuk dirinya, itu adalah sebahagian daripada hak-hak wanita.

Maka, sekiranya dulu mereka menentang pertandingan ratu cantik, kini imej berpakaian seksi, solekan tebal dan mencarut sepatutnya tidak menjadi masalah sekiranya ia adalah pilihan wanita tersebut. Antara slogan yang wujud adalah “tidak mustahil untuk memakai coli ketat dalam masa yang sama mempunyai kebijaksanaan”.

Bahkan istilah seperti wanita jalang (bitch) dan perempuan murahan (slut) juga tidak menjadi masalah sekiranya itu menggambarkan kehendak wanita tersebut. Feminisme gelombang ketiga cuba keluar daripada tanggapan bahawa wanita adalah lemah dan dimangsakan.

Wanita boleh diperkasakan, dan bukanlah objek budaya patriarki yang mendiskriminasi wanita. Tiada kerangka yang khusus untuk menafsirkan feminisme gelombang ketiga, pendek kata, apa kehendak wanita dan perkara-perkara yang dirasakan sebagai hak wanita, perlulah diberi ruang dan peluang untuk diraikan.

Agak sukar untuk menafsirkan apakah kejayaan yang dikecapi oleh gelombang ketiga feminisme ini. Ini kerana bentuk feminisme yang dibawa tidak mempunyai definisi yang jelas. Ini bertepatan dengan idealogi pasca-modernisme yang sememangnya tidak mempunyai arah tuju tertentu melainkan berpusatkan kepada kehendak individu. Maka, pada fasa ini “kejayaan” feminisme adalah menjadi pemangkin hak asasi manusia (human rightism).

Feminisme bukan lagi medan memperjuangkan wanita

Ada yang menyebut, feminisme gelombang keempat masih belum wujud, kita masih berada dalam gelombang ketiga. Tidak kiralah sama ada kita masih berada di gelombang ketiga atau keempat, kita melihat gerakan-gerakan yang berkaitan feminisme masakini menjadi medan perjuangan mengetengahkan agenda berasaskan hak asasi manusia (human rightism).

Istilah “feminisme” kini dianggap terlalu eksklusif untuk wanita. Untuk mengelakkan feminisme dianggap sebagai satu idealogi yang bersifat diskriminatori kepada jantina lain, kita dapati sejak kebelakangan ini, gerakan feminisme cuba menjadi lebih inklusif kepada semua jantina. Perkara utama yang ditekankan adalah kesamarataan semua.

Pada ketika ini, kebanyakan gerakan feminisme mengambil pendirian politik, masuk campur dalam soal penggubalan undang-undang sesebuah negara dan bergerak sebagai pertubuhan-pertubuhan untuk memberi tekanan kepada kerajaan-kerajaan. Yang paling dirisaukan, kita lihat gerakan feminisme turut giat menjadi jurucakap dan melaksanakan aktivisme untuk orientasi seksual dan identiti gender lain, termasuklah LGBTQ.

Itu sebab kita dapati, semakin banyak gerakan feminisme yang akhirnya lebih memperjuangkan “lelaki” (transgender wanita) berbanding wanita sejati itu sendiri.

Feminisme Malaysia lubuk pencabar syariat

Kita dapati feminisme bukanlah satu idealogi yang bermula di dunia Islam, tetapi ia bermula dari dunia Barat, khususnya Eropah. Wanita di bawah naungan Islam telah lama dijelaskan melalui wahyu mengenai kedudukan mereka, peranan mereka dan hak-hak mereka.

Gerakan feminisme di Malaysia yang terikut dengan kerangka Barat cenderung menolak beberapa hukum syariat di dalam Islam. Contohnya, atas nama hak reproduksi, gerakan feminisme di Malaysia secara tidak langsung mempromosi tingkahlaku seks bebas kerana memperjuangkan hak menggugurkan kandungan dengan sewenang-wenangnya.

Bahkan kita dapati ada yang mencabar enakmen-enakmen syariah yang telah jelas pendalilannya dalam Islam, seperti faraid, talaq, poligami, kesalahan homoseksual dan lain-lain. Masalah yang melanda masyarakat pada hari ini adalah kerana mereka tidak menuruti ajaran Islam.

Namun begitu, masalah-masalah ini pula disabitkan dengan ajaran Islam. Gerakan feminisme di Malaysia menangguk di air yang keruh menggunakan alasan ini untuk menolak usaha pemerkasaan syariat di negara ini.

Semua rakyat Malaysia, terutama yang beragama Islam perlu menyedari bahawa feminisme bukanlah penyelamat setiap kemelut yang melanda kita pada hari ini. Kita perlu bersifat kritikal terhadap gerakan feminisme terutama apabila ia menerima tajaan asing untuk melaksanakan agenda tertentu di negara ini.

Mereka berselindung di sebalik inisiatif “menyelamatkan wanita teraniaya” sedangkan mereka mencanang agenda lain. Mereka mencabar konsep perhubungan jantina (gender relation) yang ditetapkan Islam. Manhaj Islam lebih terdahulu menetapkan hubungan kesalingan (complementary relationship) dan heteronormativiti antara lelaki dan perempuan. Kita perlu kembali kepada fitrah yang telah ditetapkan Allah buat manusia.

Masakan sebuah idealogi yang tidak konsisten dan sentiasa bermutasi dari zaman ke zaman, dapat menyelesaikan masalah manusia yang kompleks. Sudah pasti kita pun tidak mahu menghadap gelombang feminisme yang semakin carca merba selepas ini. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah.

Norhidayah Ismail
Pengarah International Muslimah Empowerment Council, Wanita ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close