Berita Utama

Kedutaan belum terima maklumat Jho Low ditahan di China

BEIJING, 7 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Kedutaan Besar Malaysia di Beijing belum menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low ditahan pihak berkuasa China.

Menurut sumber kedutaan ketika dihubungi Bernama, laporan beberapa portal media tempatan dan asing kononnya Jho Low ditahan masih tidak dapat disahkan.

“Setakat ini, kami di kedutaan belum mendapat sebarang maklumat berhubung penahanan Jho Low,” katanya mengulas beberapa laporan media tempatan dan asing berhubung dakwaan itu.

Semalam, blog Sarawak Report melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan berita Jho Low ditahan di China.

Pasport Jho Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam turut dilapor berkata belum menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan itu, namun siasatan akan dibuat bagi mengesahkan perkara tersebut.

Minggu lepas, Fuzi berkata Jho Low dipercayai keluar dari Macau, tempat terakhir kedudukan beliau diketahui ke destinasi yang tidak diketahui. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close