Berita Utama

33,425 kes HFMD dilaporkan

198 taska, 197 tadika dan 23 sekolah ditutup elak wabak berjangkit

KUALA LUMPUR, 7 Zulkaedah 1439H, Jumaat –Sebanyak 33,425 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara sehingga semalam dengan kebanyakan negeri kecuali Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada minggu ke-29 tahun ini iaitu sehingga semalam sebanyak 722 kes dilaporkan dan Selasa lalu sebanyak 18 premis ditutup melibatkan enam taska dan 12 tadika.

“Ini menjadikan jumlah premis ditutup sehingga kini adalah 419 premis iaitu 198 taska, 197 tadika dan 23 sekolah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (E71) yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Dr Noor Hisham berkata, kementeriannya akan terus memantau situasi HFMD dan orang ramai diminta untuk sentiasa mematuhi nasihat yang diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan.

“Ibu bapa mahupun pengusaha taska dan tadika perlu membawa anak ke fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya menunjukkan gejala HFMD dan memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

“Jangan bawa anak yang dijangkiti HFMD ke tempat awam kerana boleh merebakkan jangkitan, amalkan budaya mencuci tangan dengan bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh atau merawat lepuh,” katanya.

Mereka turut diingatkan untuk membersihkan peralatan permainan yang digunakan serta lantai rumah dan tandas dengan menggunakan larutan campuran kloroks.

Beliau juga mencadangkan kanak-kanak disaring di pintu masuk kelas bagi memastikan tiada tanda jangkitan HFMD.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close