Berita UtamaUtama

PDRM semak laporan media berhubung penangkapan Jho Low

KPN enggan ulas dakwaan Jho Low buat pembedahan wajah

PETALING JAYA, 6 Zulkaedah 1439H, Khamis – Laporan beberapa portal media tempatan dan asing yang mendakwa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low ditahan pihak berkuasa China sedang disemak, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat berhubung perkara itu.

“Saya tidak ada maklumat perkara itu, saya akan semak kemudian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan kenderaan EMPV di Persada Plus Subang Jaya, di sini, hari ini.

Semalam (18 Julai) blog Sarawak Report melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan berita penahanan Jho Low di China.

Pasport Jho Low telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, Mohamad Fuzi berkata, dakwaan bahawa PDRM tidak menghantar notis merah kepada polis antarabangsa, Interpol untuk mengesan ahli perniagaan kontroversi itu adalah tidak benar.

“Saya ingin menegaskan polis telah menghantar permohonan berkenaan pada 11 Jun lepas kepada Interpol di beberapa negara termasuk China, Hong Kong, Indonesia, dan Myanmar selain meminta kerjasama Taiwan melalui saluran diplomatik bagi mengesan Jho Low,” katanya.

Ketika ditanya tentang lokasi terbaru Jho Low, Mohamad Fuzi percaya lelaki berkenaan mungkin berada sama ada di Macau, China atau Hong Kong.

Ketika ditanya sama ada Jho Low telah membuat pembedahan wajah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa seperti yang dilapor media asing, beliau enggan mengulas lanjut.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close