Berita UtamaKata PedangUtama

SST, GST dan jemaah surau

Melopong mulut Pak Ku Choh dengar penjelasan Cik Gu Mat

USAI solat Isyak, imam Hasan terus pulang ke rumah untuk makan malam dan berehat. Esok pagi-pagi lagi dia dan isterinya, kena ada di stesen kereta api untuk ke Kuala Lumpur menjenguk anaknya yang baru bersalin di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tinggallah Siak, Tok Sidang, Leman Getah, Tok Lah, Pak Ku Choh, Cik Gu Mat dan dua tiga jemaah lagi menggulung sejadah yang telah usang di surau kampung itu. Tingkat atas surau separuh simen dan separuh kayu itu dijadikan tempat solat, manakala di bawahnya tempat mesyuarat dan dapur kecil.

Selesai menggulung sejadah, Tok Sidang mengajak Siak dan Leman Getah bersembang di tingkat bawah. Tok Lah, Cik Gu Mat dan Pak Ku Choh pun turut serta. Leman Getah yang menjadi peraih di kampung itu terus ke dapur membancuh kopi pekat.

Perbualan mereka malam itu bukan berkisar kepada anak kampung yang muda-muda kurang datang ke surau untuk solat berjemaah, apa lagi waktu Subuh, tapi isu lain.

“Anak teman di Johor telefon mengeluh kata barang mahal sekarang, harga naik berkali ganda. Dulu kos sara hidup tinggi sebab GST. Lepas tu sekarang nak kena SST pula,” Tok Sidang memecahkan keheningan malam. Cengkerek pun tidak sahut menyahut malam itu.

Siak, Tok Lah membeliakkan mata. Pak Ku Choh mengerutkan kening, manakala Cik Gu Mat hanya diam membelek telefonnya. Mereka walaupun, tinggal di kampung memang tahu apa yang disebut GST, tapi kurang arif pula mengenai SST. Leman Getah bawa lima cawan kosong dan seteko kopi lalu menuangkannya. Berasap. Aroma kopi cap kereta api menusuk hidung.

“Amboi, pekat kopi engkau Leman,” kata Tok Lah sambil menghirup sedikit kopi panas itu.

“Teman pun masalah juga Tok. Harga jual beli getah tak seberapa. Kita beli barang pula kena cukai. Lepas pilihan raya hari tu tak ada lah pula cukai, tapi dengar kata nak kena cukai baru pulak. Entah lah. Saudara teman di bandar nun, pun mengeluh juga harga barang mahal. Tadi apa Tok kata pasal SST, teman tak berapa faham pasal cukai-cukai ni,” soal Leman.

Tok Sidang pun ulang semula apa yang dikatakan anaknya mengenai SST dan GST. Panjang lebar juga cerita Tok Sidang. Kata Tok Sidang:

Isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mula diperkatakan sejak Pakatan Harapan (PH) memasukkannya ke dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) lalu, yang dijanjikan untuk menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) enam peratus yang mula dikenakan pada 2015 lalu.

Kata Tok Sidang, macam-macam persoalan berkaitan mana satu yang baik untuk pengguna – adakah SST atau GST? Sebelah sini kata SST bagus, sebelah sana kata SST tak bagus, tapi GST bagus. Sebab SST kena cukai 16 peratus, tapi GST hanya 6 peratus, maknanya yang 6 peratus itu lagi bagus lah sebab lebih rendah.

“Dan, SST akan dikuatkuasakan mulai 1 September depan. Berat lah macam ni. Harga barang akan naik lagi tinggi kalau macam ni.” Lagi terbeliaklah mata Siak dan Tok Lah. Cik Gu Mat masih terbelek-belek telefonnya. Leman Getah juga mengangguk-angguk kepala seperti setuju kata-kata Tok Sidang.

Cik Gu Mat meletakkan telefonnya di atas meja. Lalu bersuara, “macam ni Tok Sidang, Siak, Tok Lah….”

GST sudah dijadikan sifar. Maknanya, sekarang ini 0 peratus. Kita beli barang tiada lagi GST. Tapi mulai 1 September nanti kerajaan akan gantikan GST dengan SST iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Memanglah nampak cukai itu kalau disatukan menjadi 16 peratus, sedangkan GST hanya 6 peratus.

Dua-dua cukai ini diletakkan di bawah Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Ada dua cukai di sini iaitu satu, cukai jualan dan kedua, cukai perkhidmatan.

Cukai jualan adalah cukai Persekutuan yang dikenakan ke atas penggunaan macam-macam barang secara meluas dan cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas pengguna yang menggunakan perkhidmatan tertentu yang dikenakan cukai.

“Ooooo.” Terlopong mulut Pak Ku Choh sambil mengangguk-angguk kepala mendengar penjelasan Cik Gu Mat. “Kita kena tahu bezakan apa itu cukai jualan dan apa pula cukai perkhidmatan.” Kata lagi Cik Gu Mat sambil menyambung:

Cukai perkhidmatan adalah satu bentuk cukai tidak langsung dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu sahaja. Contohnya, makanan, minuman, tembakau dan lain-lain. Pemberi perkhidmatan profesional dan perunding, sama ada firma atau perseorangan, seperti akauntan, peguam, dan sebagainya tertakluk kepada cukai perkhidmatan.

“Tapi cukai perkhidmatan ini tak boleh pula dikenakan kepada sebarang perkhidmatan yang tidak tersenarai di bawah perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai,” sambung Cik Gu Mat. Angguk Leman Getah. Macamlah dia faham ayat berpusing-pusing yang disebut Cik Gu Mat.

Kalau ikut kepada Akta Cukai Perkhidmatan 1975, siapa-siapa pun boleh dikenakan cukai jika menjalankan perniagaan yang menyediakan perkhidmatan boleh dicukai dan mesti ada lesen.

“Syarikat insurans pun kena cukai perkhidmatan juga ke Cik Gu Mat?.” Soal Siak. “Ya, syarikat insurans pun kena cukai perkhidmatan.” Jawab Cik Gu Mat. “Ooooo gitu.” Balas Pak Ku Choh. Masing-masing menghirup kopi kosong. Biasanya ada juga roti empat segi untuk dicicah. Tapi tabung surau pun sudah semakin kering, sementara bantuan bulanan jabatan agama Islam pula belum datang.

Cik Gu Mat menyambung lagi:

Cukai jualan pula adalah cukai satu peringkat yang dikenakan hanya pada peringkat pengeluar atau pengimportan. Di negara kita, semua pengeluar barang boleh kena cukai diwajibkan ada lesen mengikut Akta Cukai Jualan 1972. Tapi, kalau syarikat yang hasil jualannya kurang daripada RM100,000 dan syarikat yang berstatus gudang pengeluaran berlesen (LMW) boleh memohon dikecualikan lesen itu.

Dan, kalau ikut akta ini, pengeluar yang berlesen akan dikenakan cukai berdasarkan output, manakala pengeluar tidak berlesen dan yang dikecualikan lesen pula dikenakan cukai bergantung kepada input mereka.

Lagilah, ternganga mulut Tok Lah dan Siak bila Cik Gu Mat sebut output dan input. Tapi mereka diam sahaja, mendengar hujah Cik Gu Mat. “Apa beza GST dan SST ni Cik Gu Mat.” Tanya Leman Getah.

“Iyalah.. sebagai pengguna kita kena tahu beza SST dan GST. Ramai yang berbeza pandangan. Tapi yang penting kita kena faham kedua-dua sistem cukai ini dan kesannya.” Terang Cik Gu Mat sambil mencapai dan membelek-belek telefonnya dan menerangkan:

Kita kena faham bahawa SST dan GST adalah cukai penggunaan. Sebenarya, SST adalah cukai penggunaan satu peringkat yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan. Tetapi, GST adalah cukai penggunaan pelbagai peringkat rantaian bekalan.

Dulu, sebelum dikenakan GST, kadar SST adalah 10 peratus untuk cukai jualan dan 6 peratus untuk cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas pengeluaran dan perkhidmatan akhir sahaja. Bawah SST, senarai serta pengecualian barangan bercukai lebih sikit berbanding GST.

Kalau ikut SST yang akan diperkenalkan nanti, segala barang dikecualikan cukai, kecuali yang hanya dikenakan sukai. Secara umumnya, hanya restoran dan hotel mewah akan mengenakan SST.

“Jadi orang macam kita ni tak terkena kesan daripada pelaksanaan SST, sebab kita bukan selalu masuk restoran dan hotel mewah. Orang kaya-kaya saja kena.” Jelas Cik Gu Mat.

Tapi, kalau ikut GST 6 peratus pula, semua kena sama rata pada setiap peringkat daripada pengeluar, pembekal, pemborong dan peniaga, sehingga pengguna sekalipun kena bayar GST.

Dan, di bawah rejim GST juga semua barang dan perkhidmatan dikenakan cukai, melainkan yang diberi pengecualian. Dan, barangan bercukai yang dikecualikan cukai pula jumlahnya banyak, termasuk khidmat penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam.

Umumnya, SST dikenakan ke atas pengguna akhir, manakala GST pula dibayar di semua peringkat. Pengeluar bayar GST untuk beli bahan. Kemudian pengeluar menjual barangan yang dikeluarkan kepada pemborong dan mengenakan GST; pemborong pula kenakan GST apabila menjual barang itu kepada peniaga; peniaga yang dikenakan GST oleh pemborong mengenakan pula GST kepada kita yang membeli barang itu. Inilah yang kadang kala menyebabkan harga barang naik apabila GST dikenakan pada setiap peringkat atau rantaian yang dilalui barangan berkenaan.

Dalam kata lain, SST dibayar apabila barangan atau perkhidmatan digunakan, tetapi GST dibayar untuk semua transaksi di kalangan pengeluar, pemborong, peniaga dan akhirnya pengguna. Dan, GST juga kadarnya tetap sebanyak 6 peratus, tetapi SST kadarnya berbeza-beza iaitu antara lima hingga 10 peratus atau sehingga kadar tertentu.

Panjang lebar juga Cik Gu Mat bagi penerangan. Iyalah, sebagai guru sekolah di kampung itu tentu lah Cik Gu Mat banyak pengetahuan.

“Kalau tak mau bayar cukai perkhidmatan kenalah duduk di kawasan bebas cukai yang ditetapkan seperti di Langkawi, Tioman dan Labuan.” Sambung Cik Gu Mat, sambil melihat kepada Leman Getah yang tersengeh.

“Grumm…” Bunyi guruh sambil sinar cahaya menerangi kegelapan malam kampung itu. “Hemmm… nampaknya nak hujan lagi malam ni. Tak motong lagi lah esok kita,” kata Pak Ku Choh. Sudah empat hari penduduk kampung itu tidak menoreh getah sejak musim hujan bermula.

Masing-masing mula menghirup pantas kopi yang sudah sejuk, untuk cepat pulang ke rumah sebelum hujan. Ketika berada di luar surau, Siak mengunci pintu, Cik Gu Mat pun bersuara:

“Saya pun baca dalam internet tadi.” Lalu, Siak, Tok Sidang, Tok Lah, Pak Ku Choh dan Leman Getah saling berpandangan.

Kata Pedang: Dapur kena berasap juga. Anak cucu nak ke sekolah. Pendapatan penduduk kampung pula terjejas. Harga barang entah naik entah turun tak lama lagi.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close