Berita UtamaUtama

Polis siasat dakwaan pengganas Daesh menyamar pelajar

Orang ramai dinasihat berwaspada dengan individu tak dikenali

SHAH ALAM, 4 Zulkaedah 1439H, Selasa – Polis tidak menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan yang tular melalui aplikasi Whatsapp, kononnya penyamaran pengganas Daesh sebagai pelajar kolej perubatan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Menerusi penularan dakwaan itu, pengganas Daesh didakwa menyamar sebagai pelajar perubatan dan datang ke setiap rumah bagi membuat ujian darah sebelum disuntik dengan virus HIV.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat berhubung perkara itu, namun akan meneliti dan menyiasat mengenai kesahihannya.

“Ini pertama kali saya mendengar berita penularan ini, kadang-kadang yang tular ini adalah palsu. Kita akan buat laporan terhadap dakwaan sebegini yang boleh memberi ketakutan pada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor, di Menara 2 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta mangsa yang terlibat dalam kejadian seumpama itu, tampil membuat laporan polis bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan mana-mana individu yang tidak dikenali, sebagai langkah keselamatan masing-masing.

“Usahlah mudah percaya, jangan senang mengundang orang tidak dikenali masuk ke rumah hingga boleh menjejaskan keselamatan kita sendiri,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close