Berita UtamaUtama

Siasat secara adil kes kematian pegawai kadet

Keluarga tuntut PDRM beri penjelasan kematian J. Soosaimanicckam

KUALA LUMPUR, 29 Syawal 1439H, Jumaat – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diminta melakukan siasatan segera dan mengeluarkan laporan terperinci berhubung kes kematian Pegawai Kadet Graduan (PKG) J. Soosaimanicckam, ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei lepas.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam kenyataan medianya hari ini turut memberi jaminan siasatan kes itu akan dijalankan secara bebas dan adil.

“Saya memberi jaminan bahawa siasatan ini akan dijalankan secara bebas dan adil serta tiada sebarang “cover up”. Saya juga merayu agar pihak keluarga mendiang bersabar dan menunggu sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Mohamad Sabu berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti ada pihak yang terlibat dalam salah laku sehingga menyebabkan kematian PKG J Soosaimanicckam.

Semalam, keluarga PKG, J. Soosaimanicckam menuntut TLDM dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan terperinci berhubung kematian pegawai kadet berkenaan.

Peguam keluarga mendiang, N. Surendran berkata, timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair sedangkan laporan perubatan sebelum menjalani latihan menyatakan mendiang seorang yang sangat sihat.

Portal berita tempatan pada 20 Mei melaporkan Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman sebagai berkata, siasatan forensik mendapati mangsa meninggal dunia akibat paru-paru berair dan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close