Berita UtamaDimensiUtama

Reman pegawai khas Najib disambung sehingga Ahad

Suspek 44 tahun ditahan bantu siasatan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak

PUTRAJAYA, 29 Syawal 1439H, Jumaat — Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan tempoh reman seorang pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, disambung dua hari mulai esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan tahanan reman itu dilanjutkan sehingga Ahad selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

Lelaki berusia 44 tahun bergelar ‘Datuk’ itu sebelum ini direman empat hari sejak Selasa sehingga hari ini.

Beliau ditahan pada Isnin selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan.

Beliau yang berpakaian lokap SPRM berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret pada kira-kira 10.50 pagi sebelum dibawa keluar pada 12.15 tengah hari selepas prosiding berakhir.

Peguam yang mewakili beliau, Ridha Abdah Subri, turut hadir di mahkamah hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa bekas pemimpin tertinggi negara menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

SPRM sebelum ini sudah menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close