Berita UtamaTarbiyyahUtama

Menteri agama salah tafsir, seleweng maksud hifzuddin

Ketika Fathu Makkah, Rasulullah menghancurkan semua berhala di sekeliling Kaabah dan tidak menggantikannya di tempat lain

SETIAP maqasid syariah (tujuan syarak) yang dirumuskan ulama adalah hasil kajian daripada semua nusus (dalil-dalil al-Quran dan Sunnah) serta istimbath ulama muktabar daripada dalil-dalil berkenaan.

Tidak ada satu nas atau dalil pun yang menyokong kenyataan bahawa Islam menjaga agama selain daripada Islam, malah Islam sebaliknya didatangkan untuk memadamkan kesesatan agama lain.

Allah Taala telah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud:

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (Ali Imran ayat 19)

Allah juga berfirman yang bermaksud:

Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, untuk dimenangkan atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik tidak menyukainya.” (At Taubah ayat 33)

Demikian juga Allah Taala berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 39 yang bermaksud:

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.

Allah Taala juga menegaskan dalam beberapa ayat lain, termasuk dalam surah Al-Isra ayat ke 81 yang bermaksud:

Dan katakanlah: Telah datang kebenaran, dan hilanglah yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.

Tiada mana-mana ulama muktabar di dunia ini sepanjang sejarah umat menafsirkan ‘memelihara agama’ dalam Maqasid al Syariah ialah memelihara semua agama. Malah tafsiran sedemikian lebih hampir kepada tafsiran Jaringan Islam Liberal (JIL), apabila menafsirkan ” انما الموءمنون اخوة” sebagai “semua mereka yang beriman kepada Tuhan daripada mana-mana agama…”

Tafsiran sebegini atau yang seumpama dengannya adalah tafsiran yang sesat dan menyeleweng.

Sementara, dari segi bahasanya pun ulamak meletakkan istilah مقاسد الشريعة (tujuan syarak) yang dinasabkan kepada al-syariah iaitu syariat Islam sahaja bukan kepada mana-mana agama yang lain.

Begitu juga menggunakan حفظ الدين (memelihara agama) digunakan al Din di situ dengan makrifah iaitu ‘hanya agama Islam sahaja’.

Dalam syariat Islam mungkar atau dosa yang paling besar adalah syirik dan kufur dan kesepakatan ulama mengatakan bahawa murtad adalah jenayah paling besar bagi umat Islam sehingga dalam banyak hal membawa kepada hukuman mati.

Syariat dan undang-undang berkenaan murtad ini saja telah menunjukkan bahawa tujuan syarak adalah memelihara Islam sahaja, bukan melibatkan agama yang lain, kerana jika Allah menyuruh kita memelihara agama yang lain, kenapa umat Islam yang murtad dihukum sebagai jenayah dan hukumannya terlalu berat. Tentunya hukum ini kontradiksi dengan maksud memelihara semua agama.

Allah Taala memerintahkan umatNya untuk menyelamatkan manusia seluruhnya dengan berdakwah kepada orang kafir supaya menganut agama yang benar ini Islam dan menjanjikan ganjaran yang besar di akhirat yang melebihi seluruh nikmat dunia dan isinya

Agama Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan ia bersifat lengkap dan menyeluruh. Oleh itu ia bersifat menolak kepercayaan dan amalan yang bertentangan dengannya. Maka mustahil bagi Allah yang maha bijaksana memerintahkan kita menyeru kepadanya, tetapi pada masa yang sama menyuruh kita memelihara lawannya.

Hanya orang yang jahil dan bodoh sahaja menyifatkan syariat Allah demikian – menyuruh dua perkara yang bertentangan dalam satu masa.

Sepatutnya bagi mereka yang ingin bercakap mengenai agama lebih-lebih lagi berkiatan kulliyyat Islam dan bagi mereka yang mempunyai posisi penting dalam masyarakat, terutama yang terlibat secara langsung dengan agama, hendaklah merujuk kepada ulama yang pakar di dalam bidangnya.

Dalam hal ini iaitu bidang Syariah, walaupun beliau juga daripada Al Azhar, tetapi tidak semua lulusan universiti itu alim dalam semua disiplin ilmu Islam.

Jika tidak kita akan terkena dengan amaran Rasulullah bahawa akan lahir di akhir zaman Ruwaibidhah iaitu orang jahil yang memberi pandangan dan tunjuk ajar mengenai agama kepada masyarakat dalam keadaan dia tidak tahu.

Ketika Fathu Makkah, Rasulullah menghancurkan semua berhala di sekeliling Kaabah dan tidak menggantikannya di tempat lain untuk penyembah berhala. Malah, baginda juga memerintahkan Syaidina Ali memecahkan berhala lain di seluruh jazirah Arab.

Jika, maqasid syariat itu termasuk agama lain, nescaya Rasulullah tidak berbuat demikian atau sekurang-kurangnya menggantikan tempat lain untuk penyembah berhala beribadat.

Ustaz Rushdan Abdul Halim
Pengerusi Kluster Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close