Berita UtamaUtama

Majikan perlu laksana segera cuti bersalin 120 hari

Penambahan cuti mampu pacu produktiviti kerja


KUALA LUMPUR, 29 Syawal 1439H, Jumaat – Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN) mahu cadangan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 120 hari sebagaimana dalam Bajet Alternatif Pakatan Harapan (PH), segera dilaksanakan majikan di pelbagai sektor.

Presidennya, Norhimah Aziz berkata, ia wajar dilaksanakan bagi memacu produktiviti dan tahap kesihatan wanita sejurus mereka kembali bekerja.

Pada masa sama, penambahan cuti bersalin itu juga tidak seharusnya dianggap sebagai punca kerugian kepada organisasi dan majikan atau dijadikan alasan diskriminasi terhadap golongan itu dalam sektor pekerjaan.

“Penambahan tempoh percutian itu juga akan memberikan manfaat terhadap kualiti kesihatan wanita dan kesejahteraan keluarga terutama dalam kalangan mereka yang baharu bergelar ibu.

“Wanita boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bayi, termasuk memberi penyusuan eksklusif, selain memastikan kesihatan ibu pulih sebelum memulakan tugas dan bebas tekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas janji Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan Alternatif untuk Malaysia pada pembentangan Bajet 2018 lalu yang akan memberi cuti bersalin 120 hari dengan paras gaji sama yang setara dengan kakitangan lelaki.

Norhimah berkata, peruntukan perlindungan kesihatan ibu dan anak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga telah menetapkan majikan wajar menyediakan keperluan tertentu sepanjang tiga fasa kehidupan reproduktif wanita iaitu kehamilan, melahirkan bayi dan selepas bersalin.

Bagaimanapun, katanya, majikan diminta tidak mengamalkan sikap diskriminasi dengan menjadikan pemberian cuti bersalin itu sebagai alasan untuk meminggirkan pekerja wanita.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close