Berita UtamaDuniaUtama

Mahkamah Israel gantung lagi aktiviti perobohan Khan al-Ahmar

Perbicaraan semula kes disambung pada 15 Ogos depan

TEBING BARAT, 29 Syawal 1439H, Jumaat – Mahkamah Tinggi Israel sekali lagi menangguhkan rancangan perobohan sebuah perkampungan Badawi di Tebing Barat, yang telah membangkitkan kemarahan rakyat Palestin dan kebimbangan masyarakat antarabangsa.

Mahkamah Agung Israel minggu lalu mengeluarkan injunksi 11 jam terhadap rancangan perobohan Khan al-Ahmar berikutan desakan penduduk kampung, yang menyatakan usaha mereka mendapatkan permit bangunan telah diabaikan pihak berkuasa Zionis.

Bagaimanapun, kerajaan rejim menolak hujah itu dan menyifatkannya sebagai palsu serta cubaan melambatkan rancangan yang telah menerima kelulusan Mahkamah Agung sebelum ini.

Dalam keputusan semalam, hakim Mahkamah Agung berkata, kedua-dua pihak akan dipanggil untuk perbicaraan semula kes itu pada 15 Ogos ini.

Sebelum ini, 35 orang cedera termasuk empat daripadanya dimasukkan ke hospital selepas rejim Zionis menyerang mereka sewaktu mengadakan demonstrasi bantahan terhadap tindakan Israel merobohkan perkampungan itu.

13 daripada penunjuk perasaan ditangkap dalam kejadian itu, termasuk seorang gadis remaja.

Aktiviti perobohan rumah dan sekolah milik Palestin di Tebing Barat kerap berlaku, dengan alasan pembinaan tanpa permit oleh rejim Israel.

Penduduk Khan Al-Ahmar merupakan pelarian dari padang pasir Negev yang tinggal di kawasan selatan Baitulmaqdis sejak perpindahan mereka oleh rejim Israel pada tahun 1967.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close