Berita UtamaUtama

Kerajaan akan terus perkasa golongan petani, nelayan

Subsidi kepada sektor pertanian kekal, kata Salahuddin

MUAR, 29 Syawal 1439H, Jumaat – Kerajaan akan meneruskan usaha memperkasakan golongan petani dan nelayan kecil agar mereka tidak bergantung semata-mata kepada subsidi dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, sudah tibanya bagi kerajaan memberikan ‘joran’ dan bukannya ‘ikan’ kepada golongan ini supaya mereka dapat mengubah kehidupan mereka keluar dari garis kemiskinan.

“Kita akan meneruskan bantuan kepada mereka, namun insentif-insetif perlu diperkukuhkan dan diperkayakan dengan latihan supaya mereka berbuah.

“Dengan berbekalkan latihan dan bantuan mereka tidak perlu lagi memberi fokus kepada satu pekerjaan semata-mata sebaliknya mencari peluang lain bagi memperbaiki kehidupan ,” katanya pada majlis penyerahan keahlian baharu Parti Amanah di Bakri malam ini.

Beliau berkata, sebagai contoh apabila tidak ke laut nelayan kecil boleh mengusahakan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian yang menambah punca pendapatan seperti mengusahakan tanaman nenas, sayur-sayuran dan sebagainya.

Salahuddin berkata, subsudi oleh kerajaan kekal namun apa yang akan kita lakukan adalah memperkayakan lagi subsudi yang diberikan oleh kerajaan dalam mengubah kehidupan mereka dengan lebih baik daripada sebelumnya.

“Kalau kita lihat, negara maju pun turut memberi subsudi kepada sektor pertanian , tetapi pergerakan petani daripada golongan miskin kepada jutawan..,itu yang kita nak jadikan contoh agar mereka tidak kekal berada dalam garis kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka masa panjang , pihaknya akan mengkaji Dasar Agro Makanan yang akan tamat pada 2010 supaya sektor pertanian dapat meningkatkan pendapatan golongan tani.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah penyertaan ahli Parti Amanah Negara (PAN) telah meningkat sebanyak 200 peratus sejak Pakatan Harapan (PH) mula mengambil alih pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sebelum ini jumlah keahlian baharu parti Amanah hanya lebih kurang 1,000 keahlian sebulan namum pada bulan ini jumlah ahli baharu meningkat hampir kepada 6,000 orang dengan jumlah keseluruhan hampir 100,000 orang seluruh negara,” katanya.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close