Berita UtamaUtama

Perundangan negara sudah jadi seperti ‘holy trinity’

Pemuda Isma mohon kerajaan Tun M pertahan kepentingan Islam, Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Syawal 1439H, Khamis – Pemuda Ikatan Muslimin Malayia (Isma) melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia, susulan lantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Ketua Pemuda Isma, Muhammad Farid Husin berkata, penguasaan orang bukan Islam terhadap perkara membabitkan agama Islam yang pernah menimbulkan keresahan bagi kebanyakan muslim di negara ini, bukan lagi khayalan sebaliknya telah menjadi kenyataan.

Beliau berkata, keadaan yang berlaku dalam konteks perundangan hari ini diumpamakannya seperti konsep ‘holy trinity’ dalam agama Kristian, apabila tiga posisi penting termasuk Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang kini dipegang oleh orang bukan Islam.

“Kalau ya pun hendak memastikan bahawa individu yang dilantik ‘beriman’ dengan agenda Pakatan Harapan (PH), sudah pupus ke orang-orang Islam yang layak di kalangan penyokong PH?

“Justeru, Pemuda Isma memohon supaya kerajaan Malaysia yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bersungguh-sungguh mempertahankan kepentingan agama Islam dan Melayu, dan menjunjung tinggi Perlembagaan yang berteraskan agama Islam, Melayu dan raja.

“Bukan sekadar retorik yang akhirnya merugikan agama dan bangsa, serta pribumi di negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Malanjum bagi menggantikan Tun Md Raus Sharif yang meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Muhammad Farid berkata, Pemuda Isma tidak menafikan kelayakan dan kredibiliti Malanjum sebagai seorang hakim, namun beliau menegaskan bahawa jawatan itu perlulah dipilih daripada kalangan orang Islam.

Katanya, ia selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Alasan atau dakwaan bahawa ketua hakim negara yang beragama Islam pun tak semestinya adil dan boleh memelihara agama adalah seperti hujah kanak-kanak yang tak boleh berfikiran waras. Hanya kerana segelintir orang Islam yang berperangai buruk, terus dilabel semua orang Islam tidak layak menjadi ketua hakim negara.

“Sikap apologetik terhadap agama Islam dan bangsa Melayu yang semakin menjadi-jadi pada era Malaysia Baru, era ‘rahmatan lil alamin’ yang hanya memberi rahmat kepada agama dan bangsa lain selain Islam dan Melayu,” katanya.

Beliau turut membangkitkan rekod penghakiman Malanjum yang dilihat bercanggahan dengan isu-isu berkaitan agama Islam, termasuk kes kontroversi membabitkan murtad dan penggunaan kalimah Allah.

Malanjum, 65, antara hakim yang terlibat membenarkan permohonan murtad Lina Joy pada 2007. Dua hakim (orang Islam) tidak bersetuju untuk membenarkan Lina Joy murtad, manakala Malanjum mengundi untuk membenarkan Lina Joy keluar Islam.

Selain itu, dia juga salah seorang daripada tiga hakim yang mengundi untuk membenarkan kalimah Allah merujuk kepada Jesus, selain terlibat mengundi membatalkan kes penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi pada awal tahun ini.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close