Berita UtamaUtama

Isu Zakir Naik ikut ‘rule of law’

Kerajaan bincang dan buat keputusan dalam mesyuarat Kabinet

SHAH ALAM, 28 Syawal 1439H, Khamis – Kerajaan akan bertindak sewajarnya dan sentiasa ‘menjunjung kedaulatan undang-undang’ dalam apa jua kes dan bukan hanya dalam kes membabitkan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

“Kita kena follow rule of law. Setahu kerajaan, India menyatakan bahawa mereka mempunyai kes terhadap pendakwah itu.

“Jadi, saya fikir apa yang perlu dilakukan ialah apabila kes itu dikemukakan, keputusan akan dibuat sama ada untuk menghantarnya pulang atau tidak,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pengembangan Pusat Parcel Bersepadu (IPC) di sini, hari ini.

Gobind berkata, perkara itu telah dibincangkan dan ditangani dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Dr Zakir, yang mempunyai taraf Pemastautin Tetap Malaysia, dilaporkan dikehendaki oleh kerajaan India kerana dakwaan mempromosikan keganasan dan pengubahan wang haram.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, Malaysia tidak akan menghantar pulang Dr Zakir ‘selagi beliau tidak menimbulkan masalah di negara ini’.

Pada masa sama, Gobin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji sama ada untuk mengawal pemilikan dan kawalan ke atas media oleh parti politik.

Katanya, kementeriannya sedang menimbang pendekatan yang berbeza mengenai isu itu sebelum membawa perkara itu ke Kabinet.

“Saya sentiasa mengambil pendekatan bahawa parti-parti politik tidak boleh mengawal portal media atau akhbar,” katanya. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close