Berita Utama

Lapan kluster baharu di Terengganu akibat rentas negeri

Buat aktiviti memasak, berhimpun secara senyap-senyap tapi akhirnya terbongkar

KUALA TERENGGANU, 8 Zulhijjah 1442H, Ahad – Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Nor Azimi Yunus meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang masih mahu merentas negeri untuk menyambut Aidiladha di kampung halaman. 

Beliau berkata, tindakan merentas negeri telah memberi kesan kepada Terengganu apabila wabak COVID-19 menular di beberapa daerah hingga menyebabkan lonjakan kes. 

Tegasnya, sebelum ini Terengganu berjaya mengekalkan angka jangkitan harian dua digit sahaja selama tiga minggu berturut-turut.

Bagaimanapun, dalam masa dua minggu, lapan kluster baharu dikesan di Terengganu gara-gara aktiviti merentas negeri sekali gus mengakibatkan kes baharu meningkat.

“Ada kluster telah menular ke beberapa daerah. Kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini? 

“Ada kluster buat majlis tahlil tiga malam. Diundang sama ustaz dan pelajar tahfiz. Akhirnya menjangkiti ramai pelajar tahfiz dan beberapa orang ustaz.  

“Kesalnya kami dan hati kami bagai disiat-siat melihat perkara itu masih berlaku. Kalian fikir bila balik berhari raya hanya duduk diam kat rumah. Tapi itu tak berlaku begitu,” katanya.

Beliau berkata, sejarah Aidilfitri telah membuktikan di mana walaupun telah dilarang, aktiviti masak-masak dan berhimpun masih berlaku. 

“Tapi semuanya dibuat senyap-senyap supaya orang tak tahu. Anak beranak sahaja pun. Kenapa nak risau. Tapi kalian lupa kluster COVID-19 tidak boleh diam-diam. Sampai masa semua terbongkar.

“Jika semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tiada aktiviti berhimpun, mana mungkin beberapa keluarga dijangkiti serentak. 

“Datang dari mana jangkitan jika bukan ada yang membawanya? Nasi sudah menjadi bubur apabila ada ahli keluarga menjadi korban COVID-19. Saat menyedihkan bila anak-anak menjadi yatim piatu. Ada kehilangan atuk nenek atau ayah ibu atau anak-anak atau saudara mara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, sekiranya masih ada yang masih berfikir kononnya mereka ‘kebal’ daripada jangkitan COVID-19, mereka tidak sepatutnya lupa kumpulan yang perlu dilindungi seperti warga emas dan kanak-kanak kecil yang mungkin mendapat komplikasi serius.

“Kenapa kalian tak boleh tangguh seketika. Sementelah varian baru Delta sudah dikesan di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu. Kekuatan jangkitan sangat luar biasa.

“Tak perlu tunding jari salahkan sesiapa. Kalau kita masih berkeras nak rentas negeri hanya untuk berhari raya dan akhirnya kita merupakan indeks atau punca kepada kluster baru, adakah kita masih nak salah kan orang lain atau salahkan pihak lain.

“Cuba berfikir dan bertindak bijak untuk sama-sama. Lindungi diri dan orang lain. Kita bukan boleh beri suntikan vaksin serentak kepada ramai orang. Sedangkan COVID-19 mampu menjangkiti serentak ramai orang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button