Berita Utama

Anwar seolah tak yakin boleh raih sokongan majoriti MP

Tiada akta gugur kedudukan ahli Parlimen jika tidak sokong PM

BANGI, 22 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat seolah-olah tidak yakin mampu meraih sokongan majoriti ahli Parlimen, apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara gabungan parti politik yang menyokong kerajaan semalam.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian yang turut memaksa ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul juga, tidak pernah dilihat dalam mana-mana bentuk persefahaman atau undang-undang sebelum ini.

“Saya tak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang sekalipun bahawa perkara seperti ini boleh dilaksanakan, kecuali yang berkaitan Akta Lompat Parti.

“Tetapi ini tak termasuk dalam akta berkenaan kalau tak sokong gugur kedudukan dia sebagai ahli Parlimen,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Menurut Muhyiddin, ahli Parlimen mempunyai hak dan kebebasan untuk menyokong Perdana Menteri atau sebaliknya kerana ia termaktub dalam undang-undang.

“Tak tergugur jawatan dan kalau parti nak ambil tindakan disiplin itu soal lain, tak adalah sampai dia harus berhenti dan kosongkan kerusi.

“Saya lihat macam Perdana Menteri tak berapa yakin untuk teruskan usul undi percaya ini,” katanya.

Usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan 19 Disember ini.

Terdahulu, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan).

Difahamkan, antara inti pati perjanjian persefahaman itu ialah setiap parti dan pihak-pihak hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button