Berita UtamaDuniaUtama

Pesawat Air China jatuh 25,000 kaki dalam tempoh 10 minit

Juruterbang bertindak segera selepas berlaku penyahmampatan kabin

BANGI, 27 Syawal 1439H, Rabu – Sebuah pesawat penumpang syarikat Air China dilaporkan jatuh 25,000 kaki dalam masa 10 minit ketika dalam penerbangan dari Hong Kong ke Dalian, semalam.

Keadaan itu menyebabkan topeng oksigen di siling kabin dilepaskan kepada penumpang, walaupun pesawat berjaya mendarat dengan selamat di bahagian utara bandar itu.

Dua penumpang sempat memuat naik gambar penumpang lain di media sosial ketika berada di dalam pesawat CA106 sambil memakai topeng oksigen, tetapi kelihatan tenang.

Satu paparan di laman web China, Weibo, menyatakan: “Pengumuman daripada kokpit memberitahu bahawa keupayaan untuk meningkatkan oksigen di kabin tidak berfungsi bagi membolehkan pesawat mengurangkan tekanan.”

Menurut laman web FlightRadar24, pesawat Boeing 737 yang mempunyai 159 tempat duduk itu mula berada di udara antara Shantou dan Xiamen pada jam 7.40 malam, setengah jam selepas bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Data yang sama daripada syarikat penerbangan Flight Aware menunjukkan penurunan awal sebanyak 14,100 kaki dalam masa 4 minit setengah, sebelum turun lagi daripada 35,000 kaki menjadi 10,000 kaki sebelum pesawat kembali mendatar dan mula mendaki ketinggian penerbangan seperti biasa selepas itu.

Pengguna Weibo itu memuat naik gambarnya memakai topeng sambil menunjukkan ‘thumbs up’ dan berkata, isu terbabit telah selesai apabila pesawat menghampiri Kiamen.

Pesawat itu kemudian meneruskan penerbangan ke bandar pelabuhan Dalian di Wilayah Liaoning, China, yang mengambil masa 3 jam setengah.

Tiada sebarang kecederaan direkodkan di dalam insiden ini.

Seorang juruterbang profesional dengan pengalaman lebih 25 tahun berkata, proses penyahmampatan kabin membuatkan juruterbang mengambil langkah untuk turun ke paras 10,000 kaki seperti yang telah berlaku.

“Itulah yang dianggap persekitaran selamat untuk penumpang bernafas dan kapten perlu membuat keputusan dengan segera. Saya berpendapat di dalam setiap kes, anda ingin untuk mendarat secepat mungkin.

“Tetapi ia bergantung kepada situasi di dalam pesawat serta senarai semak juruterbang. Dalam kebanyakan kes, anda ingin mengisytiharkan kecemasan ketika mendarat dan perlu melakukannya di lapangan terbang yang sesuai,” kata juruterbang itu.

Pesawat Boieng bagi CA106 didaftarkan B-5851 diguna pakai selama empat tahun. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close