Berita UtamaUtama

Pemuda Isma kecam peguam syor sistem beraja dimansuhkan

Kenyataan Fadiah perlekeh institusi raja dangkal dan menjengkelkan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Syawal 1439H, Rabu – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengecam sekeras-kerasnya pandangan peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang mempertikaikan sistem monarki di negara ini, kerana jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

Ketua Pemuda, Muhammad Farid Hussin menyifatkan, hujah Fadiah terhadap institusi raja di negara ini dangkal, sedangkan Islam tidak melarang, malah menyuruh umatnya menghormati serta taat kepada pemimpin selagi mana tidak bertentangan dengan ajarannya.

Beliau berkata, institusi raja adalah penting untuk mempertahankan kedaulatan agama Islam dan kepentingan orang Melayu.

Justeru, kenyataan Fadiah yang juga aktivis BERSIH kelmarin dianggap sebagai memalukan serta menjelekkan apabila dia sebagai bangsa Melayu dan beragama Islam memperlekehkan institusi diraja di Malaysia.

“Ironinya, pihak-pihak ini rancak mencari kelemahan dan keburukan apa sahaja perkara berkaitan Melayu termasuk institusi raja, tetapi menjunjung tinggi sistem negara lain. Malah teruja, terkinja-kinja mengikuti berita perkahwinan diraja Britain.

“Justeru, Pemuda Isma menyeru orang Melayu yang rancak menjalankan agenda pihak asing untuk menghapuskan identiti negara Malaysia, supaya sedar bahawa perbuatan mereka hanyalah merugikan diri sendiri dan keturunan mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Farid berkata, Pemuda Isma menzahirkan kebimbangan terhadap usaha pihak tertentu sekarang ini, yang dilihat semakin berani mencabar status quo Malaysia sebagai negara Islam yang bertunjangkan kepada institusi raja dan Melayu.

Beliau berkata, kelantangan suara pihak berkenaan sama ada kebetulan atau dirancang disifatkan semakin melampau pada era yang dikatakan ‘Malaysia Baru’.

Katanya, belum reda isu berkaitan pelantikan jawatan pejuang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kementerian Belia dan Sukan serta cadangan menghapuskan sekolah tahfiz, muncul pula kenyataan Fadiah bahawa sistem beraja di Malaysia sebagai kuno.

“Seolah-olah mereka ini mendapat lesen besar daripada kerajaan sekarang untuk memperjuangkan agenda liberal dan sekular mereka.

“Lebih malang lagi, golongan yang menentang kedaulatan Islam, Melayu dan institusi raja adalah daripada kalangan orang Melayu sendiri, yang lebih seronok berkiblatkan negara asing dan rela diperkudakan untuk menjahanamkan agama, bangsa dan negara sendiri,” katanya.

Muhammad Farid berkata, walaupun berasa marah dengan perbuatan segelintir Melayu dan golongan bangsawan yang tiris akhlas serta moral, namun itu bukanlah bererti harus ‘dipukul rata’ kepada semua.

“Janganlah marah nyamuk kelambu dibakar. Janganlah menjadi musuh dalam selimut, ingatlah setiap perbuatan kita akan dihisab di akhirat kelak.

“Meminjam kata-kata nasihat Jurgen Klinsmann, bintang bola sepak Jerman, kepada pasukan England menjelang pertemuan separuh akhir Piala Dunia 2018: “be who you are, and be proud of that”. Berbanggalah dengan identiti kita sebagai Melayu dan Islam,” katanya.

Fadiah dalam tulisannya yang disiarkan di laman Facebook Malaysia Muda kelmarin mempertikai kewujudan sistem beraja di Malaysia yang pada pendapatnya sudah ketinggalan zaman dan tidak boleh lagi diterima atau dipertahankan.

BERITA BERKAITAN:

1. Sistem beraja sudah kuno, tidak boleh dipertahan, kata aktivis PH
https://www.ismaweb.net/2018/07/09/sistem-beraja-sudah-kuno-tidak-boleh-dipertahan-kata-aktiviis-ph/

2. Pertikai institusi diraja satu dakyat liberalisme: Isma
https://www.ismaweb.net/2018/07/09/pertikai-institusi-diraja-satu-dakyat-liberalisme-isma/

3. Syor peguam sistem beraja dimansuh: Anda jahil murakab, buta sejarah, kata Ridhuan Tee
https://www.ismaweb.net/2018/07/10/syor-peguam-sistem-beraja-dimansuh-anda-jahil-murakab-buta-sejarah-kata-ridhuan-tee/

4. Reaksi Ridhuan Tee terhadap isu peguam kata sistem beraja kuno, tidak perlu dipertahankan
https://www.ismaweb.net/2018/07/10/reaksi-ridhuan-tee-terhadap-isu-peguam-kata-sistem-beraja-kuno-tidak-perlu-dipertahankan/

5. Peguam persoal sistem beraja mesti didakwa
https://www.ismaweb.net/2018/07/10/peguam-persoal-sistem-beraja-mesti-didakwa/

6. Lucut kerakyatan peguam jahil sejarah, gesa netizen
https://www.ismaweb.net/2018/07/11/lucut-kerakyatan-peguam-jahil-sejarah-gesa-netizen/

7. Syor sistem beraja dimansuh: Polis panggil Fadiah esok
https://www.ismaweb.net/2018/07/10/polis-siasat-peguam-syor-sistem-beraja-dimansuh/

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close